PRN: Penjawat awam diingat bersifat berkecuali laksana tugas

Iklan
Petugas SPR memeriksa peralatan mengundi sebagai persiapan menjelang PRN esok. - Foto Bernama

CYBERJAYA - Penjawat awam yang bertugas di pusat pengundian sempena pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu esok diingatkan agar melaksanakan tugas dengan penuh integriti dan dedikasi tanpa terlibat secara langsung dalam urusan menyokong mana-mana pihak.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Dr Zulkapli Mohamed berkata, beliau sentiasa menekankan penjawat awam adalah non-partisan iaitu tidak terlibat secara langsung dalam urusan menyokong mana-mana pihak.

Iklan
Iklan

"Laksanakan tugas atas tanggungjawab sebagai penjawat awam secara neutral dan bersifat berkecuali. Insya-ALLAH penjawat awam yang terlibat dalam urusan PRN ini dapat dilaksanakan dengan baik dan jelas," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan dan menghadiri taklimat persediaan akhir Pusat Semakan Peti Undi di Semarak Hall Cyberjaya yang juga akan menjadi pusat penjumlahan rasmi undi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil, di sini pada Jumaat.

Iklan

Turut hadir, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh; Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom dan Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak.

Dr Zulkapli berkata, komitmen yang diberikan SPR dan penjawat awam akan memastikan PRN dan PRK Parlimen Kuala Terengganu dapat dilaksanakan dengan baik dan teratur.

Iklan

Terdapat tiga DUN di Parlimen Sepang iaitu Tanjong Sepat yang mempunyai 32,312 pengundi, Dengkil sebanyak 93,931 pengundi dan Sungai Pelek sebanyak 47,335 pengundi.

Esok, 12 Ogos adalah hari pengundian bagi PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan. Turut diadakan serentak adalah PRK bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu. - Bernama

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!