SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan pengundi agar tidak menggunakan telefon bimbit di tempat mengundi dan tidak menyerahkan kad pengenalan (MyKad) kepada pihak lain ketika proses pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu, pada Sabtu.
Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, penggunaan telefon bimbit di tempat mengundi (saluran) adalah tidak dibenarkan.
Katanya, sebagai peringatan, notis atau poster larangan penggunaan telefon bimbit akan diletakkan di luar dan di dalam tempat mengundi.
"SPR turut menetapkan bahawa pengundi yang membawa telefon bimbit ke tempat mengundi perlu meletakkan telefon bimbit di tempat yang telah disediakan setelah menerima kertas undi dan mengambilnya semula setelah selesai mengundi.
"Pengundi juga diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Ikmalrudin memberitahu, pelaksanaan tatacara pengundian baharu itu boleh dirujuk menerusi poster Tatacara 10 Langkah Pengundian yang menjelaskan proses pengundian sepenuhnya.
Menurutnya, pengundi juga dinasihatkan supaya tidak menyerahkan MyKad mereka kepada pihak lain selain daripada petugas pilihan raya.
"Pengundi diingatkan supaya membawa MyKad dan catatan maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran.
"Catatan maklumat pengundian itu akan memudahkan KP1 untuk membuat semakan nama pengundi serta membantu kelancaran proses pengundian pada hari mengundi," tambahnya.
Justeru, kata beliau, pengundi turut dinasihatkan untuk membuat semakan awal maklumat pengundian untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka.
Jelasnya, semakan boleh dilakukan melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-8892 7018/ 7218/ 7124 atau melalui aplikasi MySPR Semak.
"SPR juga ingin mengingatkan para majikan supaya membenarkan tempoh yang munasabah kepada pekerja mereka yang berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi bagi PRN dan PRK Kuala Terengganu.
"Ia sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954," ujarnya.