GEORGETOWN - Kerajaan Pakatan Harapan (PH) digesa agar menjelaskan kegagalan mereka dalam menunaikan janji dalam manifesto PRU14 lalu setelah setahun memerintah negara.
Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong berkata, sehingga kini, rakyat masih tertunggu-tunggu janji yang ditaburkan PH antaranya berhubung pengurangan kos sara hidup.
Menurutnya, rakyat turut mempersoalkan tentang harga barang yang tidak turun yang mana, ada beberapa jenis barangan semakin mahal berbanding sebelum ini.
"Hari ini genap setahun PH memerintah, namun mana janji-janji yang ditaburkan selama ini? Rakyat masih menagih janji-janji itu terutamanya berhubung kos sara hidup yang tak turun malah semakin membebankan sedangkan itu yang dijanjikan selama ini.
"Sebelum ini mereka mendakwa harga barang mahal disebabkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) tetapi kini cukai itu telah pun dimansuhkan. Mengapa harga barang masih tak turun, malah ada yang lebih mahal," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Tong Keong berkata, kerajaan PH juga gagal untuk mengotakan janji berhubung pemansuhan tol di seluruh negara.
"Ketika menjadi pembangkang dulu, PH berjanji akan memansuhkan tol di seluruh negara. Tetapi apa jadi pada hari ini ketika mereka sudah menjadi kerajaan? Selepas setahun, tol masih belum dimansuhkan malah mereka langsung tidak menunjukkan kemahuan dan kesungguhan melaksanakan janji itu.
"PH hanya pandai berjanji, kononnya mahu meringankan beban rakyat dalam manifesto PRU14 sehingga rakyat memilih PH, tetapi selepas setahun, jelas mereka gagal. Gagal meringankan beban rakyat, kos hidup, hapus tol dan banyak lagi," katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Gerakan Pulau Pinang berkata, amat mengecewakan sekiranya janji PH selama ini dibuat berdasarkan pembohongan.
"Apakah asas yang PH guna untuk membuat janji kerana mereka gagal menunaikan semua janji mereka selama ini. Adakah selama ini PH hanya bersandarkan pembohongan semata-mata? Persoalan ini yang menjadi tanda tanya di kalangan rakyat sekarang ini.
"Jika benar janji itu dibuat berdasarkan pembohongan, ia tindakan yang amat mengecewakan. Ini kerana, majoriti rakyat mengharapkan PH membantu meningkatkan kualiti hidup mereka selaras slogan Malaysia Baharu," katanya.
Tambahnya, rakyat semakin muak dengan alasan yang diberikan kerajaan PH serta sering menyalahkan kerajaan terdahulu.
"Rakyat yang dahulu menyokong PH kini semakin jemu dengan alasan yang diberikan selain pusingan U yang sering dilakukan kerajaan baru ini. Jangan ingat rakyat tidak tahu.
"Alasan-alasan dan pusingan U ini adalah untuk menutup kegagalan kerajaan PH daripada menunaikan janji mereka," katanya.