KUALA LUMPUR - Tindakan dua rakan yang memperkenalkan diri mereka sebagai polis sebelum merompak seorang lelaki warga Myanmar membawa padah apabila mereka dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat.
Hakim Datuk Nu’aman Mahmud Zuhudi menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhamad Al Shafik Irwanshah, 26, dan Ahmad Ruhaifi Sufri Saupi, 30, selepas mereka mengaku bersalah melakukan rompak berkumpulan menggunakan pisau terhadap Kaung Khant Zaw dan mengambil telefon bimbit milik lelaki itu yang menyebabkan kerugian RM1,800.
Iklan
Iklan
Mahkamah memerintahkan kedua-dua tertuduh itu menjalani hukuman penjara dari tarikh tangkap pada 5 Ogos lepas.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Flat Mutiara Fadason, Taman Fadason, Kepong, di sini pada 5.40 petang, 18 Julai lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat.
Mengikut fakta kes, ketika kejadian mangsa yang sedang menunggu lif di tingkat 18 di flat itu didatangi dua lelaki yang memperkenalkan diri mereka sebagai anggota polis yang kemudian mengarahkannya masuk ke dalam sebuah rumah sebelum mengacukan pisau dan mengambil telefon bimbit miliknya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Muhairi Mohamed Noh memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadap kedua-dua tertuduh dan masyarakat namun mereka yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan. - Bernama