PRN: PDRM terima 1,651 laporan sehingga Khamis

Iklan

SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima sebanyak 1,651 laporan dalam Op pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri sejak 27 Julai lalu hingga Khamis.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Asisten Komisioner Skandaguru Anandan berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 668 laporan diterima dari Selangor; Terengganu (314), Kedah (258), Kelantan (236), Negeri Sembilan (116) serta Pulau Pinang (39).

Iklan
Iklan

Beliau berkata, PDRM telah bertindak membuat tangkapan terhadap tujuh orang susulanm laporan yang diterima.

"Sejumlah 4,300 ceramah telah diadakan dengan permit dan sebanyak 115 kertas siasatan dibuka setakat ini.

Iklan

"Berdasarkan statistik harian pada Khamis, sebanyak 127 laporan diterima manakala 440 permit dikeluarkan di semua negeri yang terlibat dengan PRN," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, beliau berkata, antara siasatan yang dibuka di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia Malaysian (AKMM) 1998 membabitkan seorang calon Pakatan Harapan di Pulau Pinang yang didakwa dikaitkan dengan sindiket dadah serta pengubahan wang haram.

Iklan

Katanya, pengadu menerima gambar kiriman aplikasi WhatsApp daripada rakannya yang mengandungi nama, kad pengenalan dirinya dan adiknya.

Menurutnya, gambar tersebut juga menyenaraikan syarikat didakwa miliknya, namun pengadu menafikan kandungan terbabit.

"Untuk itu, satu laporan telah dibuat bagi membolehkan PDRM menyiasat individu yang menyebarkan fitnah itu.

"Malah dia juga telah dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) tiga tahun lalu namun tiada tindakan diambil," ujarnya.

Tambahnya lagi, satu lagi siasatan dilakukan membabitkan Sekyen 500 KK, Seksyen 233 AKMM dan Seksyen 504 KK.

"Pengadu terlihat satu ucapan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam satu ceramah politik, kelmarin di Alor Setar, Kedah.

"Dalam ucapannya, beliau didakwa mengeluarkan kata-kata kesat.

"Pengadu merasakan kenyataan itu satu fitnah dan boleh menggugat keharmonian dan ketenteraman awam serta tidak sepatutnya digunakan oleh seorang pemimpin," ujarnya.