Polis lepaskan 9 tembakan: Penjenayah dah kena tahan

Iklan
Video tular memaparkan insiden anggota polis melepaskan tembakan ke arah tayar kenderaan yang dinaiki dua penjenayah di Kepong, pada Isnin. (Gambar kecil: Mohd Shuhaily)

KUALA LUMPUR - Seorang penganggur diberkas setelah dipercayai melarikan diri sehingga memaksa anggota polis melepaskan sembilan das tembakan di Jalan Kepong, Isnin lalu.

Suspek lelaki warga tempatan berumur 40-an itu ditahan di sekitar kawasan Kajang pada Khamis.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zin berkata, suspek berjaya diberkas berdasarkan risikan yang dijalankan pihaknya.

"Semakan mendapati suspek tersenarai dalam senarai individu dikehendaki dan dipercayai terlibat dalam kegiatan pecah rumah.

Iklan

"Bagaimanapun suspek dipercayai tidak terlibat dalam mana-mana kegiatan kumpulan kongsi gelap," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis lepaskan sembilan das tembakan selepas dilanggar

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini pada Jumaat.

Iklan

Katanya, suspek direman lima hari bagi siasatan lanjut.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan (cubaan membunuh) dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan (menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam)," katanya.

Menurutnya, seorang lagi rakan suspek yang terlibat dalam kejadian telah dikenal pasti.

"Polis kini sedang menjalankan gerakan untuk memburu seorang lagi rakan suspek dipercayai terlibat dalam kejadian ini.

"Sebarang perkembangan akan dimaklumkan kepada media selepas ini," katanya.

Pada Isnin, suasana sekitar Jalan Kepong gempar apabila beberapa anggota polis melepaskan tembakan selepas sebuah kereta dipercayai enggan memberhentikan kenderaan apabila diarah berbuat demikian.

Kereta jenis Proton Wira dinaiki dua lelaki itu dikejar anggota polis bermula dari Taman Pusat Kepong sehingga Laman Rimbunan, Jalan Kepong di sini.

Suspek kemudian bertindak agresif dengan mengundurkan kereta sebelum cuba melanggar salah seorang anggota polis.