Beras Siam naik harga

Iklan
Beras Siam yang merupakan makanan ruji rakyat Kelantan mencatatkan kenaikan sekitar RM1.50 hingga RM3.50 sekilogram sejak beberapa hari lalu.

KOTA BHARU - Beras Siam yang merupakan makanan ruji rakyat Kelantan mencatatkan kenaikan sekitar RM1.50 hingga RM3.50 sekilogram sejak beberapa hari lalu.

Seorang pembekal yang ingin dikenali sebagai Zubedah berkata, pada Rabu lepas dia menjual beras Siam 9 kilogram (kg) pada harga RM38.

Iklan
Iklan

"Tetapi hari ini (Jumaat) harganya sudah mencecah RM39.50 dan berlaku kenaikan sebanyak RM1.50.

"Manakala bagi beras 5 kg, paling murah harganya ialah RM17.50 dan paling mahal RM18.50," katanya ketika dihubungi.

Iklan

Menurutnya, sebelum itu beras Siam dijual sekitar RM15 sahaja dan kali ini kenaikan sangat ketara antara RM2.50 hingga RM3.50.

Ujar Zubedah, peningkatan harga beras dilihat berlaku setiap hari susulan kejatuhan mata wang Malaysia yang dialami ketika ini.

Iklan

"Melihat kepada keadaan ini, sukar untuk berniaga dan saya sendiri gerun untuk menyimpan stok yang banyak.

"Andai kata esok, lusa harga turun, rugilah stok yang telah dibeli dengan harga mahal sebelum ini," katanya.

Sementara itu, peruncit yang ingin dikenali sebagai Abdullah memberitahu, beras 25 kg yang sebelum ini dibeli dengan harga RM80 minggu lepas kini mencecah RM82 hingga RM83.

Disebabkan itu, dia terpaksa mencari pembekal yang menolak dengan harga paling murah, untuk memastikan pembeli tidak terbeban.

"Setakat ini permintaan sentiasa ada, cuma kami (peruncit) sukar hendak dapatkan bekalan sebab pembekal tidak menyimpan stok yang banyak," ujarnya.

Bagi pengguna, Ismail Mat, 53, berkata, beras Siam sudah sebati dengan selera mereka sekeluarga.

"Selain rasanya yang sedap dan susah basi, ia cepat mengenyangkan.

"Sebagai pengguna memanglah resah bila melihat harga beras naik setiap masa, tetapi disebabkan itu pilihan utama, kami terpaksalah mengeluarkan belanja lebih," katanya.