GEORGE TOWN - Malaysia berhasrat meningkatkan hubungan diplomatik dengan China bagi mengukuhkan perkongsian strategik antara kedua-dua negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata, lawatan Menteri Luar China, Wang Yi yang juga Menteri Kanan di China ke Malaysia hari ini amat penting, yang mencerminkan hubungan kukuh antara kedua-dua negara.
"Pendirian kita adalah untuk memastikan hubungan dengan China kekal kukuh dan ditingkatkan lagi daripada penglibatan diplomatik biasa, untuk menjadi perkongsian strategik yang kukuh," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Yi dan perwakilan China di sini hari ini.
Anwar berkata, beliau juga berterima kasih kepada Yi kerana membantu dalam membawa banyak pelaburan utama China ke Malaysia.
Terdahulu, Yi mengadakan pertemuan empat mata dengan Anwar selama kira-kira 25 minit di Hotel Eastern dan Oriental di sini hari ini, sebelum perjumpaan itu disertai oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang dan juga Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kedua-dua negara turut merancang untuk meneroka keperluan meningkatkan kolaborasi dalam bidang penyelidikan dan pendidikan.
"Perbincangan kami bertumpu kepada isu perdagangan dan pelaburan, namun kami juga menyentuh soal pendidikan. Malaysia mempunyai jumlah pelajar dari China yang cukup besar di sini, kira-kira 60,000 orang, dan mereka (China) juga berhasrat meningkatkan jumlah pelajar Malaysia di China,” katanya.
Pertemuan itu menandakan kepentingan hubungan perdagangan dua hala antara kedua-dua negara, yang menyaksikan China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia sejak 2009, dengan jumlah perdagangan sebanyak AS$110.6 bilion (RM488 bilion) pada 2022.
Tahun ini adalah ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-China dan kedua-dua negara juga akan menyambut ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik tahun depan, menandakan persahabatan yang lama terjalin dan kerjasama mantap dalam pelbagai sektor. - Bernama