SEREMBAN - Dua lelaki berusia 20-an yang sedang makan nasi berlaukan ikan sembilang sambal berlada di sebuah gerai di Senawang ditahan penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan (JHEINS) pagi tadi.
Penolong Pengarah Kanan Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEINS, Ahmad Zaki Hamzah berkata, dua lelaki ini makan dan minum digerai tersebut ketika anggota penguatkuasa JHEINS melakukan rondaan pada bulan Ramadan sekitar Seremban dan Senawang jam 10.30 pagi.
Menurutnya, ketika pemeriksaan di gerai itu, dua lelaki tersebut sedang menjamah nasi dan terdapat air teh o ais di atas meja.
"Kedua-duanya disyaki melakukan kesalahan Seksyen 114(2 ) di bawah Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 iaitu melakukan kesalahan makan, minum atau menghisap tembakau atau rokok di khalayak umum ketika siang hari pada bulan Ramadan.
"Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak lebih RM500 atau penjara tidak lebih tiga bulan atau kedua-duanya sekali dan jika berulang akan didenda tidak lebih RM1,000 dan penjara enam bulan atau kedua-dua sekali," katanya ketika ditemui di Pejabat Penguatkuasa JHEINS di Pusat Dakwah Paroi hari ini.
Katanya, dua lelaki ini telah diambil keterangannya dan dibebaskan sebelum dituduh di mahkamah bersabit kesalahan berkenaan pada satu tarikh yang ditetapkan nanti.
"Manakala peniaga gerai makan, lelaki berusia lewat 20-an turut diambil keterangan selepas disyaki melakukan kesalahan di bawah seksyen 114(1) enakmen sama iaitu menjual makanan kepada orang Islam pada siang hari bulan Ramadan.
"Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua duanya sekali dan sekiranya didapati berulang boleh didenda tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.
Katanya lagi, rondaan seperti ini dilakukan secara berterusan pada bulan Ramadan yang turut melibatkan semua daerah di negeri ini.
"Setakat ini berdasarkan siasatan awal, terdapat beberapa buah pusat snooker turut dijadikan lokasi untuk mereka yang tidak berpuasa dan siasatan lanjut akan dibuat.
"Orang ramai khususnya mereka yang beragama Islam sewajarnya menghormati bulan Ramadan.
"Jikalau uzur yang dibenarkan oleh syarak untuk tidak berpuasa bukan satu kebenaran untuk makan dikhalayak ramai atau awam pada siang hari di bulan Ramadan dan ianya perlu dihormati," katanya.
Sementara itu, Pengarah JHEINS Mohd Zaidi Ramli ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan pemeriksaan dan siasatan berkenaan.