GENEVA - Hampir 14,000 orang yang tinggal di bandar Lublin di timur Poland telah dipindahkan selepas bom yang tidak meletup dijumpai di bandar itu.
Pihak berkuasa pada Khamis memberitahu penduduk agar meninggalkan rumah mereka antara 7 pagi dan 11 pagi (waktu tempatan) pada Jumaat dan menuju ke tempat pertemuan, Agensi Anadolu memetik Agensi Berita PAP yang dikendalikan kerajaan.
Iklan
Iklan
Pejabat datuk bandar berkata, bahagian bandar yang terjejas akan ditutup sepenuhnya kepada lalu lintas mulai 11.30 pagi (0930GMT) pada Jumaat dan pengangkutan awam akan dilencongkan.
"Semua unit kami bersiap sedia dan bekerjasama rapat dengan polis dan tentera, serta bomba termasuk semua perkhidmatan yang bertanggungjawab untuk keseluruhan proses pengamanan dan pelupusan senjata itu," kata datuk bandar Lublin, Krzysztof Zuk, pada siang media, sambil menambah situasi itu 'di bawah kawalan penuh.'
Seorang pekerja pembinaan pada Khamis terjumpa bom itu ketika melakukan kerja tanah dan kawasan itu kemudiannya dikawal oleh polis dan pakar pemusnah bom tentera dikerah ke lokasi.
Bom yang tidak meletup itu ditemui di tapak kilang pembuatan pesawat sebelum Perang Dunia Kedua. Semasa perang, tapak itu digunakan sebagai kem tawanan perang dan kem buruh. - Bernama
Artikel Berkaitan