GOMBAK - Keadaan trafik menghala ke pantai timur khususnya di Plaza Tol Gombak menuju ke Lebuhraya Karak terkawal meskipun dilaporkan terdapat sedikit kesesakan berikutan orang ramai yang mula pulang ke kampung untuk membuang undi pada pilihan raya negeri (PRN) di Kelantan dan Terengganu.
Twitter rangkaian Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Anieh Berhad melaporkan, sejak jam 5 petang tadi terdapat pertambahan jumlah kenderaan menyebabkan aliran trafik perlahan arah Kuantan sejauh 1.2 kilometer dari KM 31.9 hingga KM 33.1 (Gombak ke Genting Sempah).
Malah Kesesakan turut berlaku sejauh 3.2 kilometer dari KM 35.2 hingga KM 38.4 (Gombak ke Genting Sempah).
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di Plaza Tol Gombak petang tadi mendapati keadaan trafik bergerak lancar dengan kehadiran anggota polis trafik yang membantu melancarkan aliran trafik di plaza tol berkenaan.
Seorang pengguna lebuh raya, Mohd Salmi Ghani, 42,berkata, dia akan pulang ke kampungnya di Pasir putih, Kelantan untuk membuang undi esok.
"Memang setiap kali pilihan raya saya akan balik sekejap ke kampung untuk mengundi dan akan pulang pada hari yang sama kerana anak-anak bersekolah pada hari Isnin,” katanya.
Seorang lagi pengguna, Mastura Ahmad, 43, berkata, dia pulang ke Felda Jerangau, Dungun, Terengganu juga untuk membuang undi.
"Bila umum sahaja tarikh pilihan raya, saya dah siap-siap rancang untuk balik mengundi bersama keluarga yang lain pada hari ini,” ujarnya.