TANJONG KARANG - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini mempersoal slogan yang diguna Perikatan Nasional (PN), iaitu pentadbiran bersih, selepas mendakwa gabungan itu juga terpalit dengan gejala rasuah.
Mengambil contoh kes Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa atau Jana Wibawa yang berlaku sewaktu era bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden UMNO itu mendakwa, kes itu ibarat ‘daylight robbery’, yang menyaksikan hampir RM7.8 bilion dana kerajaan telah diseleweng.
Beliau juga mengambil kesempatan mengulas mengenai menantu Muhyiddin, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan, supaya tidak lari dari menghadapi pertuduhan.
"Yang tak curi dituduh mencuri, yang buat masjid, surau, rumah anak yatim, dituduh sebab nak burukkan.
Tetapi ALLAH Taala tahu, untuk pertahankan ... saya tetap pertahankan diri.
Itu sebabnya kita mahu betulkan keadaan ini.
Tuduhan, gambaran buruk tentang kita, semua tentang mereka (PN) baik.
Ya sakau banyak-banyak baik.
Kalau tak sakau kenapa lari, hadapilah tuduhan, hadapi mahkamah.
"Saya daripada 87 pertuduhan, 40 (sudah disahkan) tak bersalah, sebab mahkamah putuskan.
Apa takut, berani kerana benar. Itulah caranya.
Saya bukan geram, tapi nak bagi tahu jangan terpengaruh dengan mereka PN),” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program"Beyond Benih" peringkat nasional, DI Kampung Sungai Gulang-Gulang, Tanjong Karang, yang merupakan program kebun komuniti British American Tobacco (Malaysia) Berhad (BAT Malaysia).
Dalam majlis tersebut, beliau mengambil kesempatan untuk menyeru rakyat Tanjong Karang, supaya mengundi calon Barisan Nasional bagi DUN Sungai Burong, Mohamad Khir Ramli, dan calon Pakatan Harapan, Mohd Yahaya Mat Sahri demi menjamin kesinambungan Kerajaan Madani di Selangor.
"Dalam hubungan ini kita harus lihat bukan hanya dapat kotak pemikiran sempit.
Bukan hanya soal Kampung Gulang Gulang saja, bukan soal Tanjong Karang saja, bukan soal negeri Selangor saja.
Permatang mesti dimenangkan, Sungai Burung mesti dimenangkan, supaya kerajaan lebih stabil di Selangor.
"Kombinasi baik untuk Pak Ya dan Ustaz Khir.
Pak Ya ini Datuk Seri Anwar yang pilih, Ustaz Khir saya pilih.
Dulu (mereka berdua) alergik ni. Itu dulu, saya ada pantunlah untuk mereka berdua.
"Dulu lawan tetap lawan, sekarang lawan dah jadi kawan.
Buat apa kita berlawan, kita berada dalam Kerajaan perpaduan," tambahnya. - Awani