SHAH ALAM - Undi rakyat Malaysia yang layak mengundi pada pilihan raya negeri (PRN) pada Sabtu bakal menjadi penentu kepada legasi dan hala tuju enam negeri yang terlibat untuk tempoh lima tahun akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (Rasuah Busters), Nurhayati Nordin berkata, sama ada kekal, lebih baik atau buruk struktur ekonomi dan sosial negeri berkenaan bergantung kepada kuasa rakyat.
Menurutnya, rakyat harus kekal fokus memilih calon yang tegas menolak rasuah, berani mencorak perubahan, berwibawa, prihatin, berpandangan jauh dan lebih penting berpegang teguh kepada prinsip Rukun Negara tanpa kompromi.
"Oleh itu, kepimpinan yang harus dipilih bukan kepada calon yang hanya menjunjung kemenangan peribadi tetapi mereka yang menjulang kemenangan rakyat,"ujarnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sabtu ini adalah hari pengundian bagi PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu serta Kelantan, selain Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu.
Secara keseluruhannya seramai 9,674,456 orang pengundi bakal mengundi di PRU DUN Ke-15 dan bagi PRK Parlimen P.036 Kuala Terengganu pula seramai 122,160 orang pengundi.
Nurhayati berpendapat, kemelut politik bukan alasan untuk rakyat mengambil risiko dengan tidak turun mengundi.
"Hak demokrasi yang termaktub di dalam perlembagaan tidak disempurnakan dalam tempoh ini hanya akan mengundang penyesalan berpanjangan.
"Jangan sekali-kali menggadaikan prinsip diri dengan terpengaruh tawaran jual beli undi dalam apa jua bentuk sekalipun," jelasnya.