Eddin Shazlee, Danni, Rafiei antara calon MB PN di Negeri Sembilan?

Iklan
Dari kiri: Eddin Shazlee, Danni dan Mohd Nordin antara nama yang disebut-sebut sesuai menjadi Menteri Besar. - Foto Awani

SEREMBAN - Meskipun setakat ini masih belum mengumumkan sebarang nama, Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan menegaskan parti itu mempunyai calon Menteri Besar berkaliber untuk memimpin negeri tersebut.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, strategi PN di negeri itu sedikit berbeza kerana mempersembahkan satu pasukan, tidak tertumpu pada satu atau dua nama semata-mata.

Iklan
Iklan

Begitupun, katanya, semua calon yang dipertandingkan di Negeri Sembilan mempunyai kekuatan tersendiri malah semuanya layak untuk diangkat sebagai Menteri Besar.

"Kita tidak ada satu-satu ‘poster boy’. Strategi berbeza kita lakukan di Negeri Sembilan ini. Kita persembahkan satu pasukan namun kalau kita lihat senarai calon kami, kita akan dapat lihat calon berpengalaman.

Iklan

"Kita juga ada calon anak muda yang mempunyai pendidikan, latar belakang profesional yang mampu menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Besar apabila kita tubuhkan kerajaan,” katanya.

Ahmad Faizal ketika ditemui Awani turut menyebut beberapa nama seperti calon DUN Klawang, Danni Rais, calon DUN Sungai Lui, Mohd Nordin Hassim dan calon DUN Juasseh, Datuk Eddin Shazlee Shith yang mungkin sesuai mengisi jawatan itu.

Iklan

Selain itu, beliau turut menyebut calon DUN Pilah, Rafiei Mustapha, calon DUN Linggi, Datuk Zamri Md Said, calon DUN Kota, Ahmad Shukri Abdulshukor dan calon DUN Gemas, Ridzuan Ahmad.

Begitupun, katanya, beliau hanya menyebut beberapa nama namun menurut perkiraannya, semua calon PN di negeri itu layak untuk menggalas jawatan tersebut.

Tambahnya, nama calon yang disenarai pendek akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir andai PN membentuk kerajaan negeri kelak.

"Sebenarnya, satu pasukan yang telah kita persembahkan ini, kita yakin dengan kemampuan mereka.

"Apabila kita berjaya melepasi bilangan kerusi untuk menubuhkan kerajaan, kita akan mempersembahkan nama kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan,” ujarnya.

Teka-teki mengenai calon Menteri Besar daripada PN Negeri Sembilan sehingga kini masih tidak terjawab selepas pimpinan tertinggi parti itu masih belum mengumumkan secara rasmi calon tunggal mereka.

Situasi itu sedikit berbeza dengan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) yang sudah mengumumkan Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai calon sebagai Menteri Besar. - Awani

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!