KUALA MUDA - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyarankan rakyat Kelantan memilih gabungan Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan pada Sabtu berbanding tawaran Pas yang menawarkan kepimpinan baharu di negeri tersebut.
Menurutnya, perkara tersebut adalah alternatif terbaik yang perlu dipertimbangkan oleh rakyat negeri itu selepas mendakwa penolakan mereka terhadap Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
"Lagi pun rakyat Kelantan khususnya, mereka yang dimangsakan oleh watak Nik Amar menyebabkan kebencian kepada Nik Amar berada di tahap maksimum.
"Baguslah kalau Nik Amar yang menjadi poster boy kali ini. Mudah-mudahan mereka akan ke laut," katanya pada sidang akhbar selepas Program Eksplorasi Belia di Dataran Tsunami, Kota Kuala Muda, dekat sini pada Jumaat.
Pada program tersebut beliau yang juga Presiden UMNO turut diiringi calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Merdeka, Wan Mohalina Wan Mohammad.
Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Timbalannya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah akan digantikan dengan kepimpinan baharu sekiranya Pas berjaya mengekalkan pentadbiran di negeri itu pada Sabtu.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pula akan dikekalkan jika terus mendapat mandat rakyat serta perkenan sultan kedua-dua negeri.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perkara tersebut diputuskan Mesyuarat Jawatankuasa Harian Pas Pusat yang dipengerusikan Presiden parti, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada 10 Ogos lalu di Rusila, Terengganu.
"Di Kelantan akan berlaku perubahan gabungan Menteri Besar dan timbalannya sekarang dengan mengemukakan 'gabungan' kepimpinan baharu iaitu seorang tokoh agamawan dan teknokrat," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.