Bot karam: Ikat mayat rakan elak hanyut

Iklan
Keempat-empat mangsa termasuk yang maut ditemui terapung oleh helikopter APMM yang melakukan pencarian menerusi udara.

KEMAMAN - Tiga lelaki yang terapung di laut lebih 24 jam dengan berpaut pada boya terpaksa mengikat mayat seorang rakan bersama mereka bagi mengelakkan mangsa hanyut dibawa arus susulan tragedi bot karam melibatkan lapan pemancing pada kedudukan 31 batu nautika perairan Kuala Dungun.

Kejadian kira-kira jam 1 pagi semalam mengakibatkan seorang pemancing maut, seorang masih hilang dan enam berjaya diselamatkan.

Iklan
Iklan

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, empat mangsa yang terapung itu ditemui kira-kira jam 1 tengah hari tadi dalam jarak 30 batu nautika dari perairan Kerteh.

Menurutnya, ketiga-tiga mangsa terapung yang terselamat didapati mengikat badan mangsa yang meninggal dunia, Chong Yuen Khang, 34, bersama mereka.

Iklan

Katanya, tiga mangsa yang terselamat adalah Chan Kai Wai, 51; Choo Yaw Wu, 48 dan Lok Win Thye, 28.

"Ketiga-tiga mangsa berpaut pada boya keselamatan dan mengikat mayat rakan mereka untuk elak tenggelam atau hanyut dibawa arus. Ketika diselamatkan ketiga-tiga mangsa didapati mengalami dehidrasi dan keletihan.

Iklan
Tiga mangsa yang terapung lebih 24 jam berjaya diselamatkan kira-kira jam 1 tengah hari tadi.

"Sekarang kita tumpukan usaha mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi mangsa, Tan Buck Choon dan berdasarkan keterangan tekong bot, mangsa tenggelam bersama bot ketika kejadian berlaku," katanya pada sidang media di Pejabat Zon Maritim Kemaman, di sini, petang tadi.

Rashidilhadi berkata, keempat-empat mangsa terapung ditemui dalam jarak kira-kira 15 batu nautika dari bot disewa mereka yang karam oleh helikopter APMM.

Ketiga-tiga mangsa itu kemudian dihantar ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut sementara mangsa yang maut dihantar ke Hospital Dungun untuk bedah siasat.

Bot dinaiki lapan pemancing itu termasuk tiga daripadanya adalah tekong dan awak-awak dipercayai karam selepas dipukul ombak akibat berlaku ribut.

Tekong dan dua awak-awak bot itu berjaya diselamatkan oleh sebuah bot nelayan berpangkalan di Kuantan yang melalui lokasi kejadian sebelum ternampak ketiga-tiga mangsa lebih kurang jam 9.30 malam tadi.

Mengulas lanjut, Rashidilhadi berkata, operasi SAR kesemua mangsa dilakukan bermula jam 11.45 malam tadi selepas APMM menerima maklumat berhubung kes itu daripada pihak polis.

Katanya, usaha pencarian dilakukan dengan kekuatan tiga helikopter APMM di kawasan seluas 170 batu nautika sekitar bot itu karam dengan dibantu sebuah sebuah kapal ronda maritim KM Nusa.

"Operasi ini turut melibatkan aset dan anggota Pasukan Polis Marin Kuantan dan Persatuan Nelayan Kawasan Dungun dengan keseluruhan kekuatan pegawai dan anggota terlibat seramai 90 orang," katanya.