Rakyat mula mengundi hari ini

Iklan
Pengundi di enam negeri yang menghadapi PRN dan PRK Parlimen Kuala Terengganu akan menunaikan tanggungjawab mereka bagi memilih wakil rakyat masing-masing. - Foto fail Bernama

BERMULA 8 pagi pada Ahad, pengundi di enam negeri yang menghadapi pilihan raya negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu akan menunaikan tanggungjawab mereka bagi memilih wakil rakyat masing-masing.

Sebanyak 3,231 pusat mengundi telah ditetapkan melibatkan 17,265 saluran yang dibuka sehingga jam 6 petang.

Iklan
Iklan

Secara keseluruhan, PRN kali ini melibatkan seramai 9,773,571 pengundi dengan Selangor mencatatkan jumlah paling ramai iaitu 3,747,057 orang.

Ia diikuti dengan Kedah iaitu seramai 1,585,085, Kelantan (1,411,912), Pulau Pinang (1,234,198), Terengganu (930,894) dan Negeri Sembilan (864,425).

Iklan

Mengikut Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR), kumpulan pengundi muda berumur 18 hingga 20 tahun di Selangor adalah paling ramai iaitu sebanyak 274,194 orang.

Bagi had umur itu, kedua tertinggi ialah Kedah iaitu 104,284 pengundi, Kelantan (96,513), Pulau Pinang (67,633), Terengganu (64,264), manakala Negeri Sembilan (55,017).

Iklan

Ini menjadikan jumlah keseluruhan pengundi kumpulan itu seramai 661,905 orang.

Bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini, SPR menasihatkan pengundi supaya mengikut cadangan masa keluar mengundi yang digalakkan serta tidak keluar mengundi saat-saat akhir.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, pengundi dinasihatkan membuat semakan awal maklumat pengundian bagi mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-8892 7018/ 7218/ 7124 atau melalui aplikasi MySPR Semak.

Beliau turut mengingatkan bahawa penggunaan telefon bimbit di tempat mengundi (saluran) adalah dilarang.

SPR menjangkakan peratusan keluar mengundi pada PRN dan PRK itu melebihi 85 peratus dan jika jumlah itu tercapai, ia melebihi peratusan keluar mengundi sebanyak 74.7 yang direkodkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lepas.

Sebelum ini, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh mengumumkan 12 Ogos sebagai hari pengundian sementara tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 29 Julai dan 8 Ogos.

Dengan kos RM420 juta bagi pelaksanaan PRN berkenaan, tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 29 Julai, sehingga 11.59 malam 11 Ogos 2023.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!