Calon, pemimpin ambil kesempatan mengundi awal pagi

Iklan
Datuk Seri Ahmad Said (kiri) dan Abdul Hadi (kanan) menunjukkan jari yang dicelup dakwat selepas mengundi pada Sabtu. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Sebaik pusat mengundi di enam negeri dibuka, calon-calon bertanding serta pemimpin parti bersemangat dengan hadir awal bagi menunaikan tanggungjawab memilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) hari ini.

Menariknya ada dalam kalangan mereka bersama-sama beratur dengan pengundi lain seawal jam 7.30 pagi sementara menunggu pusat-pusat pengundian di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu dibuka.

Iklan
Iklan

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menjadi antara pengundi terawal mengundi di Sekolah Kebangsaaan (SK) Puncak Alam 2 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram, Selangor dan selesai menunaikan tanggungjawabnya pada jam 8.02 pagi.

Di utara tanah air, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang juga calon DUN Padang Kota tiba pada jam 7.55 pagi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Hu Yew Seah, George Town dan selesai mengundi pada jam 8.15 pagi.

Iklan

Sementara itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu yang juga calon DUN Kijal, Datuk Seri Ahmad Said dan isteri, Toh Puan Norliza Mahmud masing-masing menjadi pengundi pertama dan kedua mengundi di SK Telok Kalong, Kijal, Terengganu.

Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang mengundi di DUN Ru Rendang adalah antara pengundi yang tiba awal di pusat pengundian Sekolah Kebangsan Rusila, Marang.

Iklan

Di Negeri Sembilan, Timbalan Presiden UMNO yang juga calon DUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan dan isteri Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumudin tiba pada jam 8.30 pagi di SJKC Chung Hua, Rantau untuk melaksanakan tanggungjawab mereka.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang juga calon DUN Sikamat tiba di Pusat Pengundian SMK Haji Mohd Redza, Sikamat, pada jam 8.30 pagi.

Di Selangor, calon Pakatan Harapan (PH) yang juga penyanyi rap Syed Ahmad Syed Abdul Rahman atau Altimet selesai mengundi jam 8.10 pagi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Keramat bagi DUN Lembah Jaya.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari merangkap calon DUN Sungai Tua tiba di SJKC Selayang Baru, Batu Caves pada jam 8.35 pagi dan selesai mengundi 10 minit kemudian.

Sementara itu, di Kedah, Pengerusi BN negeri Datuk Seri Mahdzir Khalid yang juga calon DUN Pedu mengundi di SK Naka, Kuala Nerang pada jam 9.45 pagi.

Menteri Besar Kedah yang juga calon Perikatan Nasional (PN) bagi DUN Jeneri Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pula menunaikan tanggungjawab bersama isteri Jusmalailani Jusoh mengundi di SK Bandar Baru Beris Jaya, Sik pada jam 11.22 pagi.

Lawan Muhammad Sanusi di DUN Jeneri dari BN Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim pula mengundi di SK Padang Chichak pada jam 9 pagi.

Sementara itu, Pengerusi PH Kedah yang juga calon DUN Alor Mengkudu, Datuk Mahfuz Omar ketika dihubungi Bernama memaklumkan beliau akan mengundi Kolej Tingkatan Enam Sultan Sallehuddin, Hutan Kampong, Alor Setar pada jam 2 petang ini. - Bernama

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!