SELAYANG - Keadaan pusat pengundian di SJK (C) Selayang Baru dilihat lengang dan tidak semeriah seperti Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November lalu.
Calon Perikatan Nasional (PN) Taman Templer, Zaidy Abdul Talib berkata, pihaknya tidak pasti jika situasi itu hanya berlaku di Selayang atau kawasan lain turut berdepan situasi sama.
Menurutnya, pemerhatiannya di lima pusat mengundi setakat jam 9.40 pagi ini mendapati ada antara saluran dilihat kosong dengan tiada pengundi yang berbaris.
"Mungkin terlalu awal tetapi keadaannya cukup berbeza berbanding kadar keluar mengundi semasa PRU15 lalu.
"Pengundi sangat kurang, saya tak pasti mungkin terlalu awal (pagi) atau hanya berlaku di Selayang sahaja," katanya yang tiba pada jam 9.30 pagi di pusat pengundian itu bersama isteri, Kasmawati Haron.
Beliau berkata, situasi itu bukan hanya memberi kesan kepada jumlah undi terhadap PN sebaliknya ke semua parti lain yang bertanding.
"Justeru, Saya seru semua pengundi untuk turun dan tunaikan tanggungjawab. Mengundi kepada calon pilihan adalah hak masing-masing, tetapi yang penting keluar undi. Masih ada masa sampai jam 6 petang," katanya.
Bagaimanapun, tinjauan Sinar Harian setakat jam 11 pagi mendapati, pengundi mula beransur-ansur tiba di pusat pengundian berkenaan bagi menunaikan kewajipan.