ATLET Muaythai Kebangsaan, Muhammad Rifdean Masdor menyifatkan kemenangannya mengungguli Anugerah Olahragawan Negeri Perak bagi tahun 2021/2022 sebagai pengiktirafan buat sukan Muaythai.
Beliau berkata, kerja keras selama ini untuk negara dan negeri akhirnya terbalas dengan pengiktirafan tertinggi yang pernah diterimanya sebagai seorang atlet.
Menganggap ia sebagai perangsang, atlet berusia 21 tahun itu berjanji untuk meningkatkan prestasi bagi mencipta lebih banyak kejayaan pada masa akan datang sekali gus mengharumkan nama negara dan negeri.
"Terima kasih buat ibu, bapa dan pak cik saya yang sentiasa menyokong tanpa putus asa sehingga saya berjaya. Tak lupa juga buat jurulatih saya. Hadiah ini juga bukan untuk saya seorang tetapi untuk pasukan saya, Muaythai Malaysia, Muaythai Perak dan semua kawan Muaythai saya.
"Apa yang pasti, anugerah ini memberikan semangat untuk terus bersama Muaythai. Selepas ini saya akan cuba yang terbaik dan buat lebih baik lagi," katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Sukan Negeri Perak 2021/2022 di Pusat Konvensyen Casuarina di sini pada malam Jumaat.
Sementara itu, bagi Olahragawati Negeri Perak, Nyo Chi Hui mengakui terkejut dengan anugerah diterimanya kerana tidak menyangka memperoleh pencapaian setinggi itu.
Bagaimanapun atlet sukan berbasikal berusia 19 tahun itu mengakui kejayaannya tidak akan diperoleh tanpa sokongan keluarga, jurulatih serta rakan-rakan sepasukan.
"Saya fikir hanya bawa balik piala yang kecil sebab pada awalnya dicalonkan untuk Olahragawati Harapan, tak sangka terus dapat Anugerah Olahragawati Negeri Perak terus.
"Dengan pengiktirafan yang begitu tinggi ini, saya anggap ia akan menjadi pendorong untuk terus berjaya pada masa akan datang," katanya.
Pada majlis itu kedua-dua Olahragawan dan Olahragawati masing-masing menerima hadiah berupa wang tunai RM7,000, blazer, trofi serta piala pusingan.
Penyampaian hadiah disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sambil disaksikan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.