SIK - Abang kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor iaitu Shabudin, 57, sanggup menolak dua tawaran kerja di Arab Saudi dan Qatar untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada pilihan raya negeri (PRN) ini pada Sabtu.
Shabudin tiba di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Beris Jaya kira-kira jam 8.30 pagi dan selesai membuang undi 15 minit kemudian.
Anak kedua daripada 13 beradik itu berkata, 12 lagi adik-beradiknya serta kedua ibu bapanya turut mengundi di tempat yang sama.
"Saya sepatutnya sudah berangkat ke Arab Saudi dan Qatar pada Rabu lalu, tapi kerana perjuangan, saya perlu tunaikan tanggungjawab saya hari ini untuk mengundi.
"Insya-ALLAH selepas ini saya akan terbang ke negara lain, saya tak bimbang tentang kerja kerana sekarang ini tawaran kerja sangat banyak berikutan kenaikan harga minyak dunia," katanya.
Pada 10 Julai lalu, tular sebuah banglo di Kampung Batu 8 di sini yang didakwa bernilai RM7.8 juta milik Muhammad Sanusi hasil daripada kegiatan perlombongan unsur nadir bumi (REE).
Muhammad Sanusi kemudiannya menafikan gambar banglo di Sik yang ditularkan pihak tertentu menerusi media sosial adalah miliknya.
Sebaliknya, beliau menegaskan kediaman terbabit adalah milik abangnya yang bekerja sebagai penyelam profesional dasar laut.
Sementara itu, bapa Muhammad Sanusi, Md Nor Taib, 82, turut selesai mengundi pada jam 9.15 pagi.
Dia yang berkerusi roda diiringi adik Shabudin, Sobri, 54.
"Alhamdulillah pak cik sudah selesai mengundi, sejak negara ada pilihan raya, pak cik tak pernah tinggal lagi mengundi," katanya.
Pengundian bagi PRN ke-15 Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara penyandang, Muhammad Sanusi dengan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim.
Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) memenangi kerusi Jeneri pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) selepas menewaskan penyandang dari BN, Mahadzir Abdul Hamid dan calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Nazri Abu Hassan dengan majoriti 2,455 undi.
DUN Jeneri mempunyai 35,079 pengundi yang layak dengan lebih 90 peratus daripada pengundi adalah Melayu.