Larangan 3R: Jadikan perundangan jika kerajaan serius - Dr Mahathir

Iklan
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengundi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Anak Bukit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sekolah Kebangsaan Titi Gajah pada Sabtu. - Foto Bernama.

ANAK BUKIT - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa tindakan kerajaan menguatkuasakan larangan menyentuh isu 3R (agama, kaum dan raja) sebagai menafikan kebebasan bersuara di negara ini.

Beliau berkata, sekiranya kerajaan serius untuk menjadikan ia sebagai perkara yang perlu dielak untuk perbincangan, ia sewajarnya dibahas dan kemudian dijadikan sebahagian daripada perundangan negara.

Iklan
Iklan

Menurutnya, apa yang dilakukan oleh kerajaan kini tidak berlandaskan mana-mana undang-undang sedia ada.

"Masalahnya larangan terhadap 3R ini tidak mengikut undang-undang. Tidak ada undang-undang yang peruntukkan kita tak boleh bercakap isu 3R.

Iklan

"Kalau tak boleh, sepatutnya dijadikan sebahagian daripada undang-undang. Ini rakyat secara tiba-tiba diberitahu yang kita tak boleh cakap (isu 3R) sebab masalah dia sendiri,” katanya ketika ditemui selepas selesai membuang undi di Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gajah bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Anak Bukit pada Sabtu.

Dr Mahathir hadir bersama isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali selesai membuang undi pada 9.22 pagi.

Iklan

Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu mendakwa keputusan yang dibuat tanpa merujuk kepada Parlimen mahupun undang-undang negara menyebabkan ia tidak adil kepada ramai pihak.

"Ada pula (kenyataan) ugutan kalau cakap isu 3R akan batal pencalonan dalam pilihan raya negeri (PRN), ini bukan demokrasi.

"Kononnya 3R tak boleh sebut, ada undang-undang kah? Ini PM (Perdana Menteri) yang buat sendiri keputusan tanpa rujuk Parlimen atau undang-undang, tiba-tiba dikatakan kalau bercakap berkenaan 3R akan diambil tindakan,” ujar beliau lagi.

Dr Mahathir menyifatkan apa yang berlaku kini berbeza dengan suasana ketika pilihan raya sebelum-sebelum ini.

"Dulu nak undi tak ada sekatan tentang apa yang nak kita suarakan, bebas bersuara. Sekarang tidak ada lagi kebebasan. Malah ada (dakwaan) anggota polis dikehendaki memantau calon-calon sehingga mereka tak boleh bercakap isu 3R,” jelasnya.