GEORGETOWN - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu dengan Menteri Luar China, Wang Yi di sini pada Jumaat dan kedua-dua pihak berikrar untuk mengukuhkan kerjasama dalam pelbagai bidang, lapor Xinhua.
Mengimbau kejayaan lawatannya ke China pada Mac tahun ini, Anwar berkata, bahawa China adalah rakan baik Malaysia yang boleh dipercayai dan kedua-dua negara mempunyai hubungan istimewa dan mesra.
Perdana menteri berkata, kedua-dua pihak giat melaksanakan konsensus yang dicapai oleh pemimpin kedua-dua negara dan mencapai kemajuan ketara dalam kerjasama ekonomi, perdagangan, pelaburan, kebudayaan dan pelancongan.
Syarikat-syarikat China dialu-alukan untuk mengembangkan pelaburan di Malaysia, dan Malaysia bersedia memperkukuhkan kerjasama dengan China dalam pelbagai bidang untuk mencapai manfaat bersama, tambah Anwar.
Sementara itu, Wang berkata, bahawa pemimpin kedua-dua negara telah menjalinkan persahabatan yang kukuh, dan hala tuju bersama membina komuniti China-Malaysia demi masa depan bersama.
China bersedia untuk bekerjasama dengan Malaysia untuk mengekalkan momentum pembangunan yang kukuh dalam hubungan dua hala, yang mendatangkan lebih banyak faedah kepada kedua-dua rakyat, serta menyumbang kepada pembangunan dan pemulihan serantau, kata Wang.
Menyedari bahawa inisiatif Jalur dan Laluan, seperti Laluan Rel Pantai Timur dan"Dua Negara, Taman Berkembar," telah memberi kesan ekonomi dan sosial yang baik serta menunjukkan prospek luas untuk kerjasama praktikal, Wang berkata bahawa China bersedia untuk berkongsi dengan Malaysia peluang pasaran mega dan mengembangkan bidang kerjasama untuk mencapai manfaat bersama.
Wang turut bertemu Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Sementara itu, Zambry berkata, kedua-dua negara telah menikmati hubungan yang kukuh dan erat serta menyaksikan kemajuan besar dalam kerjasama praktikal.
Malaysia akan terus menyokong dan mengambil bahagian secara aktif dalam inisiatif Jalur dan Laluan, melakukan segala usaha mempromosikan projek kerjasama utama, dan berharap dapat mengukuhkan hubungan dalam semua bidang dan di semua peringkat, kata Zambry.
Malaysia amat menghargai dan menyokong beberapa siri inisiatif global yang dikemukakan China, menyeru kewujudan bersama yang harmoni, dan berharap untuk mengukuhkan hubungan rakyat dengan rakyat.
Kedua-dua pihak juga bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi perhatian bersama. Mereka bersetuju untuk mengukuhkan komunikasi dan penyelarasan, mengekalkan pemusatan ASEAN dan menggalakkan keamanan, kestabilan dan pembangunan serantau.
Wang sedang dalam lawatan ke Singapura, Malaysia dan Kemboja. - Bernama
TAG: Malaysia, China, Anwar Ibrahim, Wang Yi, melawat