MELAKA TENGAH - JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka kini mengesan semua individu yang bergambar bersama bangkai seekor harimau dahan hingga tular di laman sosial sejak semalam.
Pengarah Perhilitan Melaka, Mohd Hasdi Husin berkata, kejadian tersebut dipercayai berlaku di Kampung Kemuning, Alor Gajah.
Menurutnya, setelah menerima maklumat mengenai kejadian itu sepasukan anggota telah melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian malam tadi dan hasil pemeriksaan menemui bangkai seekor harimau dahan atau nama saintifiknya 'Neofeli Nebulosa.'
"Pemeriksaan yang dilakukan anggota yang ke lokasi menemui bangkai binatang itu yang ditanam selain terdapat kesan kecederaan di kaki serta leher.
"Pihak kami juga telah mengambil bangkai haiwan terbabit bagi menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenal pasti punca kematian," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambahnya, individu yang terlibat boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM500,000 dan penjara sehingga 5 tahun jika sabit kesalahan kerana memburu tanpa permit sah dan siasatan dijalankan dibawah Seksyen 68(2)(c) Akta Pemulihan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
Menurutnya, harimau dahan merupakan haiwan yang dilindungi dan mana-mana individu yang didapati memiliki atau menyimpan sebarang objek haiwan berkenaan seperti taring, kuku dan sebagainya boleh dikenakan tindakan mengikut seksyen sama.
"Siasatan telah dimulakan dan kita akan merakamkan percakapan semua individu yang terlibat dalam kes gambar bangkai harimau dahan yang tular," katanya.
Sebelum ini gambar beberapa individu bergambar bersama bangkai seekor harimau dahan tular hingga menimbulkan pelbagai reaksi netizen.
Sementara itu, di laman sosial Jabatan Perhilitan Semenanjung Malaysia turut memaparkan tindakan lima anggota itu yang turun padang sebaik sahaja aduan diterima.