SIK - Seorang warga emas yang membuang undi di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Chichak bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri di sini, mencuri tumpuan apabila sudah lebih 10 kali mengundi.
Tumini Kasiman, 79, yang berasal dari Teluk Intan, Perak dan bermastautin di Kampung Kura lebih 50 tahun memaklumkan, dia mengundi sejak usianya 25 tahun.
Tumini hadir ke pusat mengundi dengan ditemani cucunya, Siti Aishah Azmi yang turut membuang undi di situ.
Kerusi bagi DUN Jeneri menyaksikan pertembungan satu lawan antara calon Barisan Nasional, Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim berdepan calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Sementara itu, Muhamad Khizri selesai membuang undi di lokasi sama tepat jam 9 pagi tadi.
Sanusi tiba bagi membuang undi di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Beris Jaya bersama isteri, Toh Puan Jusmalailani Jusoh tepat jam 11 pagi dan selesai kira-kira 20 minit kemudian.
Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) memenangi kerusi Jeneri pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) selepas menewaskan penyandang BN, Mahadzir Abdul Hamid dan calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Nazri Abu Hassan dengan majoriti 2,455 undi.