KUALA NERUS - Barisan Nasional (BN) Terengganu diyakini mampu mencipta kejutan bagi keputusan pilihan raya negeri (PRN) kali ini.
Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, asas keyakinan itu bersandarkan sokongan positif ditunjukkan rakyat sejak hari penamaan calon sehingga berakhirnya tempoh kempen pada malam Jumaat.
"Keadaan sekarang (peluang) 50-50 dan di pihak BN, kita yakin (boleh menang di Terengganu).
"Saya yakin dan percaya akan ada kejutan dengan keputusan PRN di Terengganu," katanya kepada pemberita selepas selesai mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks Seberang Takir, di sini pada Sabtu.
Ahmad Razif yang juga calon BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir selesai mengundi pada jam 10.25 pagi.
Beliau sebelum itu tiba di pusat mengundi pada jam 9.45 pagi diiringi isteri, Toh Puan Seri Halina Zakaria.
Dalam pada itu, Ahmad Razif berkata, BN perlu menawan kembali Terengganu bagi membolehkan lebih banyak pembangunan dilaksanakan di negeri ini.
Ujarnya, kedudukan kerajaan negeri dan pusat perlu selari agar pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
"Saya harap BN dapat tawan kembali Terengganu dengan majoriti lebih besar," katanya.
Setakat jam 11 pagi, Terengganu mencatatkan peratusan keluar mengundi tertinggi iaitu sebanyak 33 peratus.
SPR sebelum ini menetapkan 12 Ogos sebagai hari pengundian bagi enam PRN dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu dengan tarikh penamaan calon ditetapkan pada 29 Julai manakala 8 Ogos lalu bagi pengundian awal.
Enam negeri terlibat adalah Terengganu, Negeri Sembilan, Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang.
Secara keseluruhan, seramai 9,796,616 orang pengundi bakal mengundi membabitkan 9,674,456 orang untuk PRN dan 122,160 bagi PRK Parlimen Kuala Terengganu.