KUANTAN - Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) akan melakukan pemutihan bagi memastikan bantuan zakat disalurkan hanya kepada keluarga yang benar-benar memerlukan.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, pemutihan itu membabitkan 11,146 penerima bantuan zakat secara bulanan yang sudah disalurkan sebelum ini.
Menurutnya, bantuan itu akan ditamatkan selepas siasatan dilakukan berdasarkan beberapa kategori iaitu penerima gagal dihubungi sama ada melalui telefon atau berdasarkan alamat tetap mereka, tidak lagi menetap di Pahang dan pendapatan sudah tidak melayakkan mereka bergelar asnaf serta individu yang mempunyai simpanan bank dalam jumlah tertentu.
"Jadi, sebagai langkah tepat, pemutihan perlu dilakukan bagi memastikan bahawa wang zakat ini disalurkan kepada asnaf (penerima) yang benar-benar layak sahaja," katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan bantuan pendidikan dan pembangunan asnaf miskin di Hotel Grand Makmur pada Sabtu.
Pada majlis itu, seramai 16 anak kepada asnaf penerima bantuan bulanan yang melanjutkan pembelajaran ke institut pengajian tinggi diberikan sumbangan komputer riba manakala 33 lagi bantuan pembiayaan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada pelajar miskin cemerlang.
Bantuan motosikal kepada 10 asnaf untuk menjana pendapatan sebagai penghantar makanan dan barangan dengan kerjasama bersama pihak Halo Delivery melalui program MUIP Food Rider.
Mengulas lanjut, Asmadi memaklumkan pemutihan terbabit akan dilakukan dengan kerjasama ketua kampung, penghulu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
"Kita tidak mempunyai kakitangan yang mencukupi kerana jumlah penerima agak ramai dan memerlukan bantuan daripada pemimpin setempat dan NGO," ujarnya.
Sebelum itu, Asmadi ketika membacakan teks ucapan Ahmad Hairi memberitahu, sebanyak RM410,551.29 peruntukan disalurkan membabitkan hampir 59 penerima.
Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak RM42,289 dibelanja untuk pembelian komputer riba kepada 16 penerima.
"Jumlah keseluruhan pembiayaan pinjaman PTPTN membabitkan 33 pelajar miskin cemerlang pula dianggarkan berjumlah RM283,082.29," katanya.