KUALA LUMPUR - Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dijangka berlaku di tujuh negeri termasuk dua negeri terlibat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) hari ini hingga jam 4 petang.
MetMalaysia dalam kenyataan yang dikeluarkan pada jam 1.35 tengah hari memaklumkan negeri yang terlibat ialah Perlis, Perak (Kerian dan Larut, Matang dan Selama); Pahang (Bentong dan Bera) serta Johor (Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru).
Selain itu, dua negeri yang terlibat PRN iaitu Kedah meliputi Langkawi, Kubang Pasu, Padang Terap, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu serta Terengganu melibatkan Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun.
Di Sabah melibatkan pantai barat (Ranau), Tawau dan Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan).
PRN hari ini melibatkan enam negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.
Turut diadakan hari ini adalah pengundian bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu. - Bernama