PEMAIN sensasi, Lionel Messi terus mencipta sensasi di Amerika Syarikat (AS) setelah membantu Inter Miami mara ke separuh akhir Piala Liga selepas menewaskan Charlotte FC 4-0 pada awal pagi Sabtu.
Kapten Argentina itu meledak gol keempat Miami pada minit ke-86 untuk melakar kemenangan ke atas skuad kendalian Gerardo Martino tersebut.
Miami akan membuat perhitungan dengan Philadelphia Union dalam saingan separuh akhir pada Selasa selepas pasukan berkenaan mengalahkan kelab Mexico, Queretaro 2-1.
Dalam aksi itu, Miami terlebih dahulu di depan menerusi sepakan penalti Josef Martinez pada minit ke-12 dan Robert Taylor menggandakan jaringan 20 minit kemudian.
Miami menambah jaringan apabila pemain Charlotte, Adilson Malanda tertampan bola ke gawang sendiri pada minit ke-78.
Messi akhirnya menemui sasaran selepas penyerang Ecuador, Leonardo Campana mengumpan bola kepadanya di depan gawang untuk meledak gol keempat pada minit ke-87.
Sebagai rekod, Messi tidak pernah gagal mencetak nama selaku penjaring sejak membuat penampilan pertamanya pada 22 Julai lepas.
Selepas lima perlawanan Messi sudah menghasilkan lapan jaringan.