SHAH ALAM - Ilham Centre mengenal pasti terdapat tiga faktor utama yang menyumbang kepada punca kadar peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri masih rendah setakat jam 2 petang.
Pengarah Eksekutifnya, Hisommudin Bakar berkata, tiga faktor itu adalah segmen pengundi muda terutama Undi18, pengundi bukan Melayu dan penyokong Barisan Nasional (BN) kurang teruja untuk keluar mengundi sebagaimana Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ujarnya, kadar peratusan rendah keluar mengundi sekitar 49 hingga 56 peratus di keseluruhan enam negeri tidak semestinya akan memberi kelebihan kepada koalisi atau parti tertentu.
"Sebaliknya kedua-dua koalisi besar iaitu Perikatan Nasional (PN) serta Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) akan menerima kesan besar sekiranya kadar peratusan keluar mengundi akhirnya tidak melebihi 60 peratus apabila tempoh pengundian PRN berakhir.
"Ini kerana faktor utama kemenangan PN pada PRU15 adalah kejayaan mereka meraih sokongan lebih 80 peratus pengundi muda, manakala kejayaan PH memenangi 82 kerusi Parlimen adalah disebabkan komitmen pengundi bukan Melayu yang keluar mengundi melebihi 95 peratus.
"Begitu juga dengan BN yang masih kekal bertahan dengan 30 kerusi Parlimen pada PRU15 atas sebab undi penyokong tegar mereka," katanya kepada Sinar Premium pada Sabtu.
Berikutan itu, Hisommudin mengunjurkan persaingan PRN enam negeri kali ini masih sengit dan bersifat 50-50.
Jelasnya, faktor kurangnya keterujaan pengundi muda untuk pulang mengundi pada PRN kali ini mungkin disebabkan persaingan kempen di media sosial yang lebih seimbang di antara semua parti bertanding berbanding PRU15.
"Untuk faktor pengundi bukan Melayu kurang berminat keluar mengundi, terdapat sebahagian besar daripada mereka yang bertindak boikot disebabkan tidak bersetuju apabila PH bekerjasama dengan BN terutama UMNO.
"Bagi penyokong tegar BN tidak keluar mengundi, puncanya mungkin disebabkan mereka masih tidak boleh menerima DAP sebagai salah satu rakan kerjasama politik.
"Selain itu, mereka juga dipercayai menolak kepimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi susulan terpalit isu rasuah dan masalah kepimpinan parti," katanya lagi.
Jika kadar peratusan keluar mengundi pada jam 5 petang berjaya mencapai 60 peratus, Hisommudin percaya keputusan PRN enam negeri akan kekal dengan status quo 3-3.
Bagaimanapun, beberapa keputusan mengejut akan berlaku terutama di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) campuran dan majoriti pengundi Melayu sekiranya kadar peratusan itu hanya sekitar 55 peratus sahaja.
"Sebagai contoh, beberapa kerusi marginal di Terengganu seperti DUN Kijal, Permaisuri, Seberang Takir dan Telemung berkemungkinan akan dimenangi BN-PH kerana suntikan sokongan pengundi muda tidak lagi diterima PN di situ.
"Di Selangor pula, kerusi-kerusi utara negeri itu yang sebelum ini dikuasai PN di peringkat Parlimen pada PRU15, mungkin mampu diambil alih calon PH-BN.
"Ironinya di Selangor, kerusi DUN campuran seperti Hulu Kelang, Sementa dan Gombak Setia mungkin juga akan beralih kepada PN memandangkan undi asas PH dan BN di situ dijangkakan merosot," ujarnya.