PRN: Masalah kesihatan punca Ahmad tolak jadi MB Kelantan

Iklan
Ahmad selesai membuang undi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Laut, Tumpat pada Sabtu.

TUMPAT - Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Ahmad Yakob mendedahkan masalah kesihatan menjadi punca beliau menolak untuk kekal sebagai Menteri Besar jika parti itu diberi mandat menerajui bumi serambi Makkah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Beliau berkata, perkara tersebut telah dimaklumkan kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada tahun ini.

Iklan
Iklan

"Saya sudah dua kali jatuh dan ada 'slip disc' sikit. Selain itu saya juga ada masalah jantung.

"Oleh sebab itu, saya maklum tidak mahu kekal sebagai Menteri Besar atas faktor kesihatan," katanya ketika ditemui pemberita selepas membuang undi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Laut di sini pada Sabtu.

Iklan

Menurut beliau, sebaik sahaja Pas berjaya membentuk kerajaan senarai nama berdasarkan kepada kelayakan untuk calon Menteri Besar baharu akan dikemukakan kepada Abdul Hadi.

Ujarnya, sebanyak tiga nama akan dikemukakan dan kemudian dipersembahkan kepada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V untuk mendapat perkenan.

Iklan

Calon Pas Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Pekan itu berkata, menjadi Menteri Besar bukan mudah kerana ia satu tanggungjawab yang berat.

"Seorang Menteri Besar perlu tahan berdepan ujian," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:

PRN: Pas tukar MB, Timbalan MB Kelantan jika menang

Ahmad mahu undur diri sebagai MB kerana uzur - Abdul Hadi

Mohd Amar enggan ulas isu tukar MB, Timbalan MB Kelantan

Mohd Amar sahkan MB Kelantan tolak kekalkan jawatan