Bersosial media jangan sampai puasa jadi ‘yok-yok’

Iklan
Roslee (kanan) menjelaskan bagaimana puasa seseorang boleh menjadi sia-sia kerana media sosial atau sebaliknya sambil didengari Nur Amalina (tengah) dan Wartawan, Rosalwani Che Soh di Pejabat Sinar Harian Kelantan.

KOTA BHARU - Bersosial media dalam bulan puasa jangan sampai puasa menjadi ‘yok-yok’.

Pegawai Hal Ehwal Imarah Masjid, Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) Roslee Ismail berkata, media sosial menjadi cabaran alaf baharu kepada Muslimin lebih-lebih lagi ketika berada dalam bulan Ramadan.

Iklan
Iklan

Katanya, terlalu banyak perkara lagha yang ada di media sosial hingga mengatasi perkara-perkara berfaedah dan boleh menjadikan puasa seseorang itu sia-sia atau ‘bocor’ pahalanya.

"Orang yang bocor pahalanya ini apabila orang itu gagal dalam menjaga mahupun memelihara zahir serta batinnya dengan baik ketika berpuasa.

Iklan

"Dalam media sosial ini terlalu banyak yang boleh menyebabkan perkara itu terjadi seperti gambar-gambar yang tidak menutup aurat melintas di paparan Facebook kita dan kita melihatnya hingga terlupa kita perlu menjaga puasa.

"Begitu juga apabila kita membuat komen atau membalas komen yang mengeji-geji orang lain atau memuat naik status yang hanya sekadar suka-suka, juga dikira sebagai sia-sia dan boleh mengurangkan pahala puasa,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian dalam segmen Wani Kecek Hal Agama siri 1 bertajuk ‘Puasa Jangan Yok Yok’ yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian Edisi Kelantan, di Pejabat Sinar Harian Kelantan di sini Isnin lalu. Hadir sama, mualaf, Nur Amalina Ong Abdullah, 42.

Beliau berkata, dari segi istilah syarak itu sendiri puasa bermaksud menahan diri daripada makan, minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar sadik sehingga terbenam matahari berserta niat.

Terdapat tiga kategori puasa, pertama puasa iaitu puasa orang awam biasa yang menahan makan dan minum; kedua khawash iaitu puasa menahan makan, minum dan nafsu syawat dan ketiga khawash al-khawash iaitu puasa bukan setakat membabitkan anggota zahir dan batin tetapi turut melibatkan pemeliharaan terhadap hati.

Oleh sebab itu katanya, setiap orang yang berpuasa seharusnya berhati-hati dalam menunaikan rukun Islam ketiga itu dibimbangi akan berkurang keberkatan di dalamnya dan hanya memperoleh rasa lapar serta dahaga semata-mata.

"Sebaliknya, apabila kita memuat naik status sama ada di Facebook, Instagram atau berkongsi perkara-perkara yang mengajak orang lain untuk berbuat kebaikan di WhatApps dan sebagainya, sudah tentu perkara itu akan menambahkan pahala sekaligus memelihara keberkatan dalam amalan puasa kita.

"Apabila menyebarkan perkara yang baik, berhati-hati juga dengan perasaan riak dan ujub kerana juga boleh menghilangkan pahala. Maka, terpulang kepada setiap individu bagaimana untuk menggunakan medium di media sosial itu bermanfaat sekaligus tidak menjadikan puasanya sebagai 'puasa yok-yok, bangun pagi buka periuk,” katanya.

Tambahnya, orang yang berpuasa tetapi tidak solat juga boleh menyebabkan puasa menjadi sia-sia. Puasanya dari segi hukum itu sah tetapi mengurangkan pahala puasa kerana tidak solat.

"Nabi juga menyebut ramai yang berpuasa hanya dapat lapar dan dahaga kerana tidak menjaga adab serta bertingkah laku dan perbuatan yang dilarang oleh ALLAH SWT dan Rasul SAW ketuka berpuasa sama juga orang yang tidak menjaga solatnya,” katanya.