SHAH ALAM - Pengundi di Terengganu bersemangat menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia apabila merekodkan peratusan tertinggi membuang undi bagi pilihan raya negeri di enam negeri iaitu sebanyak 70 peratus setakat jam 4 petang.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerusi laman Facebook pada Sabtu.
Menurut SPR, negeri Kedah dan Pulau Pinang mengejar rapat dengan masing-masing mencatatkan jumlah peratusan keluar mengundi sebanyak 68 dan 67 peratus.
"Ia diikuti Negeri Sembilan iaitu sebanyak 62 peratus," jelasnya pada Sabtu.
Tambah SPR, bagaimanapun, Kelantan masih berada paling bawah peratusan keluar mengundi iaitu tidak mencapai 60 peratus sebelum pusat pengundian ditutup pada jam 6 petang.
Selain itu, peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu yang dicatatkan setakat 4 petang adalah 67 peratus.
Sebanyak 3,190 pusat pengundian yang mengandungi 17,048 tempat atau saluran mengundi sempena PRN di enam negeri, dibuka bermula 8 pagi tadi.
Turut dibuka ialah 41 pusat mengundi membabitkan 217 tempat atau saluran mengundi bagi PRK Parlimen Kuala Terengganu.