PELUMBA negara, Nazirul Izzat Bahauddin mencipta kejutan apabila menjuarai kelas Underbone 150cc (UB150) Pusingan 4 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2023 di Litar Mandalika, Indonesia pada Sabtu.
Kejayaan itu menyaksikan Nazirul Izzat yang menggalas cabaran Uma Racing Yamaha Maju Motor Asia Team terus mengukuhkan cengkaman dalam carta UB150.
Nazirul Izzat selesa menerajui kedudukan teratas selepas mengumpul 116 mata untuk meninggalkan pencabar terdekatnya dari Indonesia, Gupita Kresna Wardhana (77 mata) dan Wawan Wello (72 mata).
"Kalau diikutkan mulanya saya memang tak jangka akan tamatkan perlumbaan dengan kemenangan kerana kerana saya benar-benar rapat dengan Akid (Aziz) sehingga keputusan terpaksa ditentukan menerusi photofinish.
"Apapun, kemenangan ini datang daripada ALLAH, saya hanya memberi tumpuan kepada strategi. Kemenangan hari ini adalah rezeki saya,” katanya.
Bermula di petak keenam, Nazirul Izzat menampilkan tunggangan bergaya apabila muncul pelumba pertama melintasi garisan penamat biarpun kemenangan itu terpaksa ditentukan menerusi photofinish.
Dia bersaing hebat dengan seorang lagi pelumba Malaysia, Akid Aziz daripada Cardinals Factory Racing Team Arrc sebelum disahkan sebagai pemenang.
Sementara itu, pelumba Boon Siew Honda Racing Team, Muhammad Helmi Azman meraih kemenangan sulung musim ini apabila mengungguli Perlumbaan 1 kelas SuperSports 600cc.
Kemenangan itu membolehkan Helmi melonjak ke tangga kedua keseluruhan dengan mengumpul 113 mata - ketinggalan 25 mata di belakang rakan sepasukannya, Khairul Idham Pawi.
Helmi melengkapkan 10 pusingan perlumbaan dengan berada di podium utama, manakala Khairul Idham ketinggalan 0.484 saat (s) untuk berada di tempat kedua.
Pelumba Yamaha Gen Blu Racing Team ASEAN dari Jepun, Soichiro Minamimoto pula melengkapkan podium di tempat ketiga.