KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menegaskan tindakan menunjukkan kertas undi yang sudah dipangkah kepada umum adalah satu kesalahan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Razarudin berkata, polis akan menjalankan siasatan sekiranya ada pihak tampil membuat laporan polis terhadap kes terbabit.
Pada Sabtu, media melaporkan, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, didakwa melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, apabila secara sengaja menayangkan kertas undi kepada petugas media.
Perbuatannya mengundang kritikan pengguna media sosial yang berkongsi gambar Muhammad Sanusi mempamerkan kertas undi berkenaan ketika gambarnya dirakam petugas media, sebelum ia dimasukkan ke dalam kotak undi.
Pada sidang akhbar sama, Razarudin berkata pihaknya berpuas hati dengan perjalanan pilihan raya negeri (PRN) yang berlangsung di enam negeri.
"Kita memang sentiasa bersiap siaga, saya amat berpuas hati dengan penugasan mereka di lapangan," ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN: PRN: Sanusi didakwa 'tayang' kertas undi, langgar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954