PRN: Gabungan PH-BN diterima di Negeri Sembilan

Iklan
Anthony (dua dari kiri) dan Aminuddin (tiga dari kiri) bersama calon-calon lain berkumpul di Hotel Klana Resort di Seremban pada malam Sabtu

SEREMBAN - Gabungan Pakatan Harapan(PH) dan Barisan Nasional(BN) di Negeri Sembilan berjaya membuktikan kerjasama antara mereka diterima ramai apabila setakat ini menang di 25 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri(DUN) pada Pilihan Raya Negeri(PRN) kali ini.

Seperti dijangka DAP telah menyapu bersih kesemua 11 kerusi ditandingi mereka seperti mana pada PRU14 lalu iaitu kerusi DUN Chennah, Bahau, Nilai, Lobak, Temiang, Bukit Kepayang, Rahang, Mambau, Seremban Jaya, Lukut dan Repah.

Iklan
Iklan

BN pula mengekalkan kedudukan di 14 daripada 17 kerusi ditandingi termasuk mempertahankan DUN Lenggeng iaitu kerusi milik parti rakan gabungannya Amanah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula setakat ini menang di lima kerusi iaitu DUN Sikamat, Pilah, Sri Tanjung, Ampangan, Chuah namun hilang di DUN Labu.

Iklan

Parti Amanah Negara(Amanah) yang bertanding DUN Klawang dan Paroi bagaimanapun hanya mampu mempertahankan kerusi DUN Klawang.

Seperti dijangka empat calon dikategorikan 'heavyweight' secara rasmi menang.

Iklan

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun yang bertanding atas tiket PH di DUN Sikamat menang buat penggal keempat di kerusi itu sejak PRU12.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan pula lebih berbisa apabila membuktikan pengundi DUN Rantau masih setia bersama beliau apabila menang buat penggal yang kelima berturut-turut sejak pilihan raya 2004.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook pula yang bertanding kali pertama di DUN Chennah pada PRU13 menang buat penggal ketiga.

Selain itu Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Jalaluddin Alias pula yang membuat kemunculan semula bertanding di DUN Pertang turut menang di situ.

AKAN MENYUSUL