SHAH ALAM - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berjaya memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bertam kerana beliau kerja keras pasca kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, apabila Reezal Merican tewas di Parlimen Kepala Batas pada PRU15, analisis data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan beliau berjaya memenangi undi asas DUN Bertam, berbanding DUN Penaga dan Permatang Berangan yang juga berada di dalam Parlimen itu.
Berikutan itu, Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan turut mendedahkan Reezal Merican sudah menyasarkan kerusi DUN Bertam untuk ditandinginya pada PRN Pulau Pinang sehari selepas beliau kalah pada PRU15.
"Reezal (Merican) beritahu saya sehari selepas PRU15, beliau mahu bertanding kerusi Bertam untuk tebus maruah.
"Justeru, kemenangan beliau ini adalah hasil kerja keras dan kesungguhannya selama ini. Lebih-lebih lagi, beliau dapat kelebihan di DUN itu yang juga merupakan kampung halaman Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi)," katanya melalui satu rancangan bual bicara di sebuah portal media tempatan pada Sabtu.
Pada PRN Pulau Pinang, Reezal Merican berjaya memenangi DUN Bertam dengan majoriti 2,321 undi setelah menewaskan pencabarnya yang juga penyandang kerusi berkenaan dari Perikatan Nasional dan Bersatu, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq.
Dengan jumlah pengundi berdaftar seramai 23,999 undi dan kadar peratusan keluar mengundi sebanyak 77.44 peratus, Reezal Merican berjaya memperolehi 10,453 undi, manakala Khaliq Mehtab hanya menerima 8,132 undi.