GEORGETOWN - Gabungan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang meraikan kemenangan bagi membentuk kerajaan negeri yang baru apabila menang 29 daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihan raya negeri ke-15 (PRN15).
Pengumuman tersebut dibuat Ketua Menteri Caretaker, Chow Kon Yeow di pusat penjumlahan undi PH-BN pada jam 10.15 malam Sabtu.
Dalam ucapannya, Kon Yeow berkata, menerusi keputusan rasmi dan tidak rasmi, Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang telah menang 29 kerusi (DUN) sehingga jam 10 malam Sabtu.
"Ini bukan sahaja cukup untuk membentuk Kerajaan Perpaduan (kerajaan negeri) tetapi juga mencapai majoriti dua pertiga kerusi yang berjaya dimenangi,” katanya ketika berucap di pusat penjumlahan undi PH-BN di sini pada malam Sabtu.
Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, beliau yang mempertahankan DUN Padang Kota akan mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri bagi penggal kedua esok mewakili kerajaan negeri baharu seperti mana yang diputuskan oleh pimpinan PH sebelum ini.
"PH akan menilai keputusan PRN kali ini dan memperbaiki kelemahan yang ada supaya Kerajaan Perpaduan yang ditubuhkan dapat benar-benar memenuhi aspirasi dan kehendak rakyat Pulau Pinang.
"Masa depan masih penuh dengan cabaran dan kita ikrar akan lihat keputusan (PRN) dan buat penganalisaan dan baiki apa yang ada kelemahan-kelemahan supaya Kerajaan Perpaduan yang ditubuhkan ini benar-benar dapat memenuhi aspirasi dan kehendak rakyat di Pulau Pinang ini,” katanya.
Gabungan PH-BN memenangi 29 kerusi iaitu melebihi 21 kerusi DUN yang diperlukan untuk membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah daripada keseluruhan 40 kerusi DUN yang dipertandingkan.
Kemenangan itu membuktikan PH kekal berkuasa dan mentadbir negeri ini buat penggal keempat berturut-turut.
PH yang dahulunya Pakatan Rakyat (PR) mula mentadbir Pulau Pinang selepas menang dalam Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008.
Dalam pada itu, seperti dijangka, DAP merupakan penyumbang terbesar apabila menang kesemua 19 kerusi yang ditandingi.
Kerusi yang ditandingi DAP ialah Sungai Puyu; Bagan Jermal; Bagan Dalam; Berapit; Padang Lalang; Perai; Jawi; Tanjung Bungah; Air Putih; Pulau Tikus; Padang Kota; Pengkalan Kota; Komtar; Datuk Keramat; Sungai Pinang; Batu Lanchang; Seri Delima, Air Itam dan Paya Terubong.
Kesemua calon DAP menang dengan majoriti besar, manakala BN hanya memenangi dua daripada enam kerusi yang ditandingi, Parti Keadilan Rakyat (PKR) menang tujuh daripada 13 kerusi manakala Amanah hanya menang satu kerusi.
BN menang di kerusi Bertam dan Sungai Acheh manakala Amanah menang selesa di Bayan Lepas.
Sementara itu, tujuh kerusi yang dimenangi PKR adalah Kebun Bunga; Batu Uban; Pantai Jerejak; Batu Maung; Machang Bubok, Bukit Tengah dan Bukit Tambun.
Dalam pada itu, PN menang di 11 daripada 40 kerusi yang ditandingi iaitu Penaga; Permatang Berangan; Pinang Tunggal; Sungai Dua; Telok Ayer Tawar; Pulau Betong; Telok Bahang; Sungai Bakap; Penanti, Seberang Jaya dan Permatang Pasir.