ARSENAL memulakan kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim baharu dengan kemenangan 2-1 ke atas Nottingham Forest di Stadium Emirates pada Sabtu.
Dua gol separuh masa pertama dijelmakan Eddie Nketiah dan Bukayo Saka membolehkan anak buah Mikel Arteta meneruskan momentum positif awal musim ini.
Arsenal sebelum ini merangkul Perisai Komuniti selepas menewaskan Manchester City, 4-1 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sepenuh masa perlawanan di Stadium Wembley.
Bagaimanapun, sepak mula ditangguhkan selama 30 minit berikutan isu pintu selekoh di Stadium Emirates yang menghalang peminat daripada masuk pada masanya.
Nketiah membuka tirai jaringan selepas mendapat hantaran tumit belakang Gabriel Martinelli untuk memimpin permainan pada minit ke-26.
Saka kemudiannya menggandakan kelebihan tuan rumah pada minit ke-32 apabila dia melencongkan rembatan dari jarak jauh yang mudah menewaskan bekas rakan sepasukannya Matt Turner di gawang Forest.
Arsenal yang mengendurkan permainan dihukum apabila Taiwo Awoniyi memberikan Forest talian hayat dengan gol lewat hasil serangan balas pada minit ke-82.
Kelab London utara itu kemudiannya mengekalkan momentum bertahan untuk menoktahkan perlawanan pertama di laman sendiri dengan tiga mata.