PRN: Rakyat Kelantan belum serasi gabungan BN-PH

Iklan
Ahmad Jazlan (dua dari kanan) ketika sidang akhbar di Bangunan UMNO pada Sabtu.

KOTA BHARU - Rakyat Kelantan masih belum serasi dengan gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang menjadi antara faktor kekalahan parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan pada Sabtu.

Pengerusi Parti Kerajaan Perpaduan Madani negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, bagaimanapun PRN kali ini bukan pengakhiran dalam perjuangan gabungan parti berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, gabungan itu hanya berusia lapan bulan dan masih memerlukan masa untuk meyakinkan rakyat di Kelantan.

"Kita menerima keputusan rakyat melalui proses demokrasi tetapi pada masa sama kita bangga kerana 'popular vote' untuk calon BN-PH juga tinggi," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar dalam pengumuman keputusan PRN di Bangunan UMNO dekat sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Ahmad Jazlan mahu pemerintah Kelantan menunaikan semua janji mereka sebelum ini selain manifesto baharu yang ditawarkan.

Iklan

Enam kerusi dirampas Perikatan Nasional (PN) dalam PRN yang menyaksikan kemenangan 43-2.

Ahmad Jazlan yang juga Pengerusi UMNO negeri Kelantan menjelaskan, gabungan BN-PH tidak ditolak secara total dengan bukti bahawa BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas berjaya dikekalkan manakala PH pula merampas DUN Kota Lama.

"Kemenangan dua DUN ini juga menunjukkan hasrat PN untuk 'mengosongkan' parti lawan mereka di Kelantan gagal.

"Kita juga tidak akan berputus asa dan bersedia membaiki kelemahan yang ada," ujarnya.

Ketika ditanya mengenai manifesto BN-PH, Ahmad Jazlan memberitahu, ramai rakyat tidak menolak tawaran berkenaan.

"Mungkin ada yang masih percaya dengan janji Pas dan mereka berasakan sesuai dengan rakyat. Jadi kita harap, mereka tunai semua janji itu," katanya.

Ahmad Jazlan turut mengucapkan tahniah kepada parti dalam gabungan PN yang mengekalkan pemerintahan mereka di negeri ini.C