SHAH ALAM –"Hubungan silaturahim sebagai orang Islam memang dituntut oleh agama namun kita perlu terima hakikat rakyat sudah buat keputusan dan kita hormati keputusan itu,” kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Paling penting katanya, selepas ini PN akan melaksanakan apa yang telah dijanjikan kepada pengundi-pengundi.
"Saya nak bagi jaminan apa yang kita janjikan pada manifesto PN di negeri-negeri ini akan dilaksanakan.
"Itu akan menjadi satu keutamaan untuk kita berikan demi kepentingan rakyat di negeri berkenaan.
"Kita melihat anjakan perubahan besar menunjukkan petanda yang nyata rakyat mahukan perubahan,” kata pada sidang akhbar di Hotel Concorde di sini pada awal pagi Ahad.
Menurutnya, perkara itu telah dibuktikan dengan kerusi-kerusi yang telah dimenangi PN jauh dari Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasioanal (BN).
"Jadi apapun usaha kita akan teruskan (untuk tawan Putrajaya, tapi kita tidak abaikan tanggungjawab di negeri yang kita tidak menang tetapi kita mempunyai sejumlah wakil rakyat yang cukup ramai.
"Macam Selangor ada 22 ADUN dari 56 kerusi semuanya, jadi kita akan jadi satu barisan pembangkang yang kuat, di tempat lain begitu juga,” jelasnya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Malaysia agar kembali bersilaturahim berikutan kempen pilihan raya negeri (PRN) telah pun selesai pada Sabtu.
Menurut Anwar, keputusan PRN di enam negeri iaitu di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan yang akan diketahui hari ini hanya menentukan kepimpinan kerajaan negeri, sebaliknya pentadbiran kerajaan persekutuan akan berjalan seperti biasa.
Sementara itu Muhyiddin berkata, PN akan mengira semua jumlah kerusi namun penyataan yang penting jelas perlu diberi perhatian oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
"Satu gelombang besar yang mahukan perubahan jadi ini harus diberi perharian oleh pihak kerajaan yang ada pada hari ini,” ujarnya.
Mengulas lanjut mengenai pelantikan menteri besar di negeri yang dimenangi, Muhyiddin berkata, perbincangan akan dibuat oleh wakil PN dan Pas untuk mencadangkan nama untuk dibawa perkenan sultan di tiga negeri berkenaan.
"Jika diperkenankan, upacara mengangkat sumpah menteri besar di tiga negeri berkenaan akan dibuat dalam tempoh beberapa hari akan datang,” katanya.