SANDAKAN - Pengundi di Sandakan diharap mengundi calon yang mempunyai kerjasama dengan kerajaan hari ini bagi memudahkan suara rakyat didengar, khususnya berkaitan harapan agar ekonomi di kawasan ini dirancakkan, kata Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah Datuk Dr Yusof Yacob hari ini.
Merujuk kepada calon DAP bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan Vivian Wong Shir Yee, beliau berharap rakyat memahami keikhlasan kerajaan untuk mengubah Sabah ke arah lebih baik dan memberi manfaat kepada rakyat.
"Kerajaan negeri yang baharu menginginkan rakyat yang berilmu dan mempunyai kemahiran sesuai dengan permintaan pasaran kerja.
Oleh itu, pelbagai perancangan kerajaan bagi menyelesaikan masalah rakyat, antara yang utama ialah masalah pengangguran dalam kalangan belia,” katanya ketika merasmikan Karnival Pameran dan Kerjaya Sandakan 2019 di sini hari ini.
Menurut Yusof, dianggarkan 70,000 graduan di Sabah yang tidak bekerja dan usaha sedang dilakukan untuk melatih semula graduan tersebut agar memiliki kemahiran untuk mengisi kekosongan pekerjaan di pasaran.
Selain itu, beliau berkata kerajaan memberi peluang pelajar lulusan Sijil Pelajaran Malaysia atau Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia yang cemerlang untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pendidikan terbaik dunia atas tajaan biasiswa negeri atau Yayasan Sabah.
Katanya, kerajaan berharap graduan cemerlang dapat kembali ke Sabah untuk memimpin negeri ke arah yang lebih cemerlang lagi.
"Kita mahu mereka menjadi perancang dan peneraju pembangunan Sabah dengan idea kreatif dan berfikiran jauh dalam memajukan ekonomi negeri,” katanya. - Bernama