JOHOR BAHRU - UMNO sekali lagi berdepan ujian berat apabila hanya menang 19 daripada 108 kerusi yang ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada Sabtu.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, UMNO semakin hilang sokongan orang Melayu.
"Bukan mudah untuk UMNO mencari formula baharu. Tetapi UMNO jangan panik seperti mahu tinggalkan Kerajaan Perpaduan.
"Fokus agenda ekonomi rakyat dan ekonomi negara," katanya dalam muat naik di Facebook pada Ahad.
"Jawatan parti bukan tiket percuma jadi calon. Tampilkan ayam sabung tulen.
"Menteri UMNO mesti 'deliver' Elak rakyat meluat pada tingkah laku UMNO. Parti perlu naratif baharu yang sampai kepada pengundi," katanya yang juga ADUN Rengit.
Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) berjaya menguasai tiga negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang menerusi PRN pada Sabtu.
Di Negeri Sembilan gabungan PH-BN memperoleh 31 daripada keseluruhan 36 kerusi yang dipertandingkan di negeri itu.
Pulau Pinang juga menyaksikan kemenangan bagi PH-BN dengan memperoleh 29 daripada 40 kerusi yang ditandingi, manakala di Selangor PH-BN menguasai kerajaan negeri dengan kemenangan di 34 kerusi daripada 56 yang dipertandingkan.