Cara terhormat lupus al-Quran

Iklan
Kumpulan Media Karangkraf menggunakan teknologi insinerator untuk membakar al-Quran dan helaian al-Quran yang tidak memenuhi piawaian.

KETIKA sedang membaca al-Quran, Safiah Mohamad, diganggu anaknya berusia dua tahun yang bermain berhampiran tempat beliau mengaji.

Si kecil itu, Humairah Ayub, tanpa sengaja telah menyebabkan helaian muka surat al-Quran yang dibaca wanita itu terkoyak.

Iklan
Iklan

Safiah, 30, tidak tahu hendak buat apa dengan helaian yang terkoyak itu. Bukan sahaja terkoyak dua, malah cetakannya sudah tidak berapa jelas untuk dibaca.

Hendak dibuang, Safiah rasa serba salah. Ia adalah kitab suci umat Islam. Kalam ALLAH pula. Bolehkah dibuang begitu sehaja?

Iklan

Fikirannya menerawang seketika. Mana mungkin beliau boleh berbuat demikian sedangkan mahu memegang al-Quran pun perlu ada wuduk.

Jika tidak dilupuskan, ia mungkin boleh jadi bahan 'mainan' anaknya yang masih tidak mengerti apa-apa. Apa yang harus dilakukannya?

Iklan

Dalam hal ini, penulis percaya, bukan sahaja Safiah tetapi ramai lagi yang pernah menghadapi situasi sama, bukan? Mungkin juga ada di antara anda yang masih lagi menyimpan al-Quran lama gara-gara tidak tahu buat apa-apa.

Bagaimana cara melupuskan al-Quran lama atau helaian al-Quran yang terkoyak menurut perspektif Islam?

Tiga kaedah

MOHAMAD SHUKRI

Bagi menjelaskan perkara tersebut, Sinar Islam mendapatkan pandangan Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad.

Jelas beliau, ada beberapa cara pelupusan yang boleh dilakukan mengikut syariat Islam. Mohamad Shukri berkata, pada zaman lampau, situasinya berbeza.

"Dakwat al-Quran yang digunakan tidak kekal. Jadi, apabila direndam di dalam air, tulisan ayat al-Quran itu boleh tanggal," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Teknik kedua adalah melalui cara pembakaran, ujar beliau.

"Namun, pembakaran yang menjamin kehormatan al-Quran agar ia tidak dicemari. Antaranya ialah tempat pembakaran itu tertutup dan abunya tidak diterbangkan oleh angin.

"Kemudian, cara sesetengah pihak membentuk abu al-Quran menjadi kiub-kiub kecil dan dibawa ke laut untuk ditenggelamkan juga boleh dilaksanakannya," katanya.

Agamawan itu menambah, pendekatan lain ialah dengan menanam abu di tempat yang tinggi agar bebas daripada dipijak atau laluan manusia.

"Ini agak sukar kerana mungkin perlu naik ke puncak bukit dan sebagainya," katanya.

Namun, kata Mohamad Shukri, kaedah yang banyak diamalkan masyarakat pada hari ini adalah membakar helaian kalam ALLAH tersebut.

"Sebelum dibakar, helaian al-Quran dipotong halus agar dapat dibakar hangus hingga menjadi abu. Abu itu kemudiannya ditenggelamkan di dasar laut. Bila abu masuk ke dalam air, ia akan larut. Maka, tiadalah (isu) orang hendak terlangkah dan sebagainya," ujarnya.

Apabila sudah menjadi abu, bagaimana dengan kehormatan al-Quran itu?

Menjawab soalan ini, Mohamad Shukri berkata:"Kalau al-Quran dalam bentuk biasa, hendak menyentuhnya, kita kena berwuduk. Namun, kalau sudah dibakar dan ayat-ayat al-Quran itu sudah hilang, maka, tidak lagi perlu disentuh abu itu dalam keadaan kita berwuduk.

"Bagaimanapun, abu itu masih ada penghormatannya sebagai al-Quran. Apa-apa tindakan yang hendak kita ambil adalah terus mengekalkan penghormatan al-Quran itu walaupun, ia sudah menjadi abu. Hanya sifat sahaja yang berubah tetapi tidak pada penghormatannya. Ia masih lagi perlu dipelihara," jelasnya.

Ia sebagaimana firman ALLAH SWT:"Tidak ada yang menyentuhnya selain hamba-hamba yang disucikan." (Surah al-Waqi'ah, ayat 79)

Ujar Mohamad Shukri, ayat itu jelas menunjukkan al-Quran itu perlu dihormati walau dalam apa jua keadaan sekalipun.

Kalamullah

​​

USTAZ HADI TALHAH

Sementara itu, pendakwah, Ustaz Hadi Talhah turut memberikan pandangannya tentang pelupusan al-Quran yang wajib berpandukan syarak. Ujar beliau, al-Quran bukan sahaja kalamullah tetapi juga perkataan suci daripada ALLAH SWT yang sudah tentu mempunyai nilai tinggi.

"Ia tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya. Maka, sebab itu kalau ada mushaf al-Quran yang sudah rosak atau koyak atau reput kertasnya, ia perlu dilupuskan dengan cara yang dianjurkan syarak. Ia agar kalam ALLAH itu tidak dibiar begitu sahaja atau dilangkah atau diletak di tempat yang tidak sepatutnya.

"Sebab itulah al-Quran dilupuskan dengan cara antaranya dibakar dan abunya dibuang ke laut. Ia lebih mulia, tidak seperti kitab-kitab atau buku-buku yang lain," katanya kepada Sinar Islam.

Sebenarnya, tiada masalah jika seseorang ingin menyimpan al-Quran lama atau helaian yang terkoyak di tempat khas yang terpelihara.

"Cuma lebih elok jika ia dibakar dan dilupuskan dengan cara sepatutnya kerana ia dibimbangi mungkin dilangkah atau diletakkan di tempat yang bercampur-campur dengan barang lain yang menyebabkan proses pemeliharaan al-Quran sukar dicapai," jelas beliau.

Hari kiamat

Menurutnya, betapa pentingnya al-Quran untuk dipelihara umat Islam kerana kalam ALLAH itu akan diangkat sebelum berlakunya hari kiamat nanti.

Jelas beliau, maksud diangkat adalah ayat-ayat al-Quran akan dihilangkan daripada mushaf itu sendiri. Mungkin sekarang masih ada tulisan ayat-ayat al-Quran pada mushaf berkenaan, namun, sebelum berlakunya hari kiamat nanti, tulisan itu akan hilang. Al-Quran akan menjadi kosong! Semuanya atas kuasa-Nya.

"Itu merupakan antara tanda-tanda kiamat. Sebab apa al-Quran diangkat? Sebab Kalamullah ini tak binasa, tidak seperti makhluk-makhluk lain. Inilah kesucian al-Quran.

"Jadi, ALLAH SWT hilangkan al-Quran sebelum berlakunya kiamat supaya dapat dipelihara al-Quran itu. Ia bukan satu benda yang binasa di sisi ALLAH. Sebab itu ia dijaga sebelum berlakunya kiamat," ujar beliau.

Firman ALLAH SWT:"Sesungguhnya, Kami-lah yang menurunkan al-Quran dan pasti Kami (pula) yang memeliharanya." (Surah al-Hijr, ayat 9)

Ayat itu kata Ustaz Hadi, memberi jaminan tentang kesucian dan kemurnian al-Quran selama-lamanya.

Jelasnya, ini bermakna, ALLAH SWT yang menjaga dan memelihara sifat al-Quran menyebabkan ia tidak akan hilang sampai bila-bila.

"Ia tidak akan hilang seperti mana kitab Taurat, Injil dan Zabur, sebaliknya, ALLAH akan pelihara al-Quran.

"Satu lagi, al-Quran tidak boleh diubahsuai. Ia tidak seperti kitab Taurat, Injil dan lain-lain di mana orang Yahudi dan Nasara mengubahsuai kitab berkenaan sehinggakan orang tidak tahu mana satu yang asli. Namun, al-Quran memang tidak boleh diubahsuai kerana yang menjaganya bukan manusia tetapi ALLAH SWT," jelas beliau.

Ustaz Hadi menambah, pada zaman sahabat Rasulullah SAW, tiada pelupusan al-Quran berlaku sebaliknya, ketika itulah al-Quran dikumpulkan dan kemudian mukjizat ALLAH kepada Nabi Muhammad SAW itu dibukukan.

"Namun, pada zaman kita ini, cetakan al-Quran terlalu meluas dan banyak serta kadangkala ada kesilapan atau rosak. Melihat perkara ini, ilmuan-ilmuan Islam berijtihad tentang bagaimana hendak menjaga kehormatan al-Quran.

"Maka, ulama kita berpandangan agar dibakar al-Quran lama atau helaian yang rosak dan kemudian, abunya dibuang di laut. Inilah cara yang sebaiknya supaya ia tidaklah diletak di tempat-tempat tidak sepatutnya," katanya.

Kepada satu soalan, Ustaz Hadi menjelaskan:"Jika ada buku-buku yang mengandungi ayat al-Quran, cara pelupusannya adalah sama seperti al-Quran.

"Sebenarnya, buku-buku agama ini adalah mulia, sama seperti al-Quran yang memang sangat mulia 100 peratus. Buku-buku ini tidak boleh kita hina sebab ada sebahagian kandungan dalam buku ini mengandungi ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi Muhammad SAW.

"Perkara ini mesti dijaga dan jangan dilangkah seperti mana kalam ALLAH. Sama juga seperti buku Surah Yasin. Sekiranya ia sudah buruk, reput dan sebagainya, bakarlah dan kemudian abunya dibuang di laut atau sungai," jelas beliau.