PENGENDALI Arsenal, Mikel Arteta mengakui tidak berpuas hati dengan persembahan separuh masa kedua para pemain The Gunners ketika menewaskan Nottingham Forest 2-1 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Emirates pada Sabtu.
Jelas Arteta, ia selepas tuan rumah gagal menyaingi kebangkitan pasukan pelawat dalam baki masa perlawanan berintensiti tinggi tersebut.
Biarpun begitu Arteta gembira apabila kelab London itu menyingkap kempen EPL musim ini dengan tiga mata.
"Ya, ia sentiasa sukar untuk memenangi perlawanan pertama dalam Liga Perdana Inggeris. Saya fikir kami berhak untuk menang...
"Tetapi kami tidak membunuh perlawanan dan 2-0 dalam Liga Perdana Inggeris adalah keputusan yang benar-benar berbahaya.
"Kami kurang beri tumpuan terhadap serang balas selepas sepakan sudut, mereka menjaringkan gol kemudian perlawanan diteruskan dan banyak peluang di situ.
"Kami tidak bolos apa-apa tetapi perasaannya, 'Baiklah, kami mahu perlawanan berakhir dan (mengambil) tiga mata'," kata Arteta.
Gol daripada Eddie Nketiah dan Bukayo Saka pada minit ke-32 serta 36 membolehkan Arsenal mendahului 2-0 namun tuan rumah gagal menyerlah separuh masa kedua yang membolehkan Forest mengurangkan defisit gol hasil jaringan Taiwo Awoniyi, 15 minit sebelum tamat perlawanan.
"Anda tidak boleh memberi apa-apa dan hari ini kami memberi mereka sedikit harapan apabila memberi mereka gol.
"Dan apabila itu berlaku menentang pasukan dalam Liga Perdana Inggeris, anda tidak boleh melakukan tindakan seterusnya.
"Pasukan ini sangat teratur dan sangat kompetitif. Mereka begitu fizikal apabila mahu dan mereka tidak memerlukan banyak pergerakan untuk menjaringkan gol," tambah Arteta.
Biarpun begitu, Arteta memuji Nketiah, yang mendapat tempat dalam kesebelasan utama dalam latihan selepas gagal menyerlah semasa Arsenal merangkul Perisai Komuniti dengan menewaskan Manchester City di Stadium Wembley baru-baru ini.
"Dia adalah contoh yang jelas tentang apa yang kami perlukan musim ini, seorang pemain yang sangat kecewa kerana saya tidak memulakannya ketika menentang Manchester City.
"Jadi lihat apa yang dia lakukan adalah muncul dalam perlawanan itu, memberi impak besar menentang City, berlatih seperti binatang minggu ini, memberitahu saya 'saya layak bermain'. Jadi saya terpaksa memainkan kerana dia memberi saya setiap alasan dengan reaksi terhadap positif. Contoh yang sangat bagus," kata Arteta.
Namun begitu, Arteta berkata, Nketiah masih perlu mendapatkan tempatnya semula apabila The Gunners menentang Crystal Palace dalam perlawanan seterusnya.