JOHOR BAHRU - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang mengesan waris kanak-kanak lelaki yang dipercayai menjadi mangsa dera ibu kandung serta pasangannya di Pasir Gudang, pada Jumaat.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Khairin Nisa Ismail berkata, usaha sedang dilakukan Pejabat Kebajikan Masyarakat daerah Johor Bahru untuk mendapat maklumat lanjut tentang waris berkenaan.
Jelasnya, penilaian juga akan dilakukan bagi tujuan perlindungan sementara atau tetap selepas kanak-kanak tersebut dibenarkan discaj dari hospital.
"Saya turut berduka cita dengan khabar kes penderaan kanak-kanak berumur tujuh tahun yang dipukul oleh ibu dan teman ibunya yang berlaku di Pasir Gudang.
"Saya juga dimaklumkan bahawa kanak-kanak tersebut telah dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru dan sedang menjalani rawatan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Mengulas lanjut, Khairin Nisa berkata, anak bongsu daripada dua beradik itu difahamkan baru setahun bersama ibunya setelah berpindah dari rumah datuk dan neneknya di Pokok Sena, Kedah.
Pada Sabtu, seorang wanita yang dipercayai mendera anak lelakinya yang berusia tujuh tahun beserta pasangannya, seorang wanita warganegara asing berperwatakan 'tomboy' telah ditahan reman.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, ibu suspek berusia 27 tahun direman enam hari, manakala suspek berperwatakan tomboy berusia 30 tahun itu pula direman selama tujuh hari.
Sebelum itu, tular beberapa rakaman video menunjukkan orang awam menyerbu rumah berkenaan bagi menyelamatkan kanak-kanak yang dipercayai didera ibu kandungnya sendiri dan seorang rakannya.