GEORGETOWN - [DIKEMAS KINI] Pengerusi DAP, Lim Guan Eng meminta semua pihak termasuk media tidak membuat spekulasi mengenai ketidakhadirannya di Pusat Penjumlahan Undi PH-BN bagi pilihan raya negeri ke-15 (PRN15)) pada malam Sabtu.
Guan Eng yang mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih untuk penggal keempat berkata, beliau perlu berada di pusat penjumlahan undi di Kompleks Masyarakat Penyayang untuk menyaksikan sendiri proses pengiraan undi di situ.
"Sebagai wakil rakyat, saya kena pergi ke pusat pengiraan dan penjumlahan undi, jadi saya tidak sempat (hadir ke pusat penjumlahan undi PH-BN) semalam.
Ditanya mengenai kehadiran veteran DAP, Lim Kit Siang, Guan Eng berkata, bapanya itu bukan calon dalam PRN sebaliknya hadir untuk memberi sokongan kepada calon dan parti.
"Lim Kit Siang bukan calon, saya calon, jangan buat spekulasi lah," katanya.
Pada Sabtu, Guan Eng tidak hadir ke Pusat Penjumlahan Undi PH-BN dan situasi itu menimbulkan tanda tanya pelbagai pihak.
Kebanyakkan calon yang bertanding mewakili PH-BN dalam PRN hadir ke pusat perjumlahan undi tersebut bagi meraikan kejayaan gabungan PH-BN membentuk kerajaan negeri.
Antara yang hadir ialah Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir; Timbalan Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Muhamad Bakhtiar Wan Chik dan lain-lain.
Sebelum ini, beberapa khabar angin bertiup kencang apabila ada yang mendakwa hubungan Guan Eng dan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dingin susulan isu-isu berkaitan pilihan raya negeri.
Ia ditambah lagi dengan kontroversi mengenai pemilihan calon bagi DAP yang dikatakan, nama yang dipilih oleh DAP Pusat tidak berada dalam senarai yang diserahkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Calon DAP Pulau Pinang.
Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook mengumumkan lima Exco Kerajaan Pulau Pinang dari DAP digugurkan daripada senarai calon untuk bertanding dalam PRN ini.
Mereka adalah Exco Alam Sekitar dan Kebajikan Masyarakat, Phee Boon Poh; Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng; Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee, Exco Pelancongan dan Industri Kreatif, Yeoh Soon Hin dan termasuk Timbalan Ketua Menteri II, P Ramasamy, yang juga Exco Pembangunan Modal Insan, Pendidikan, Sains dan Teknologi.