ALOR SETAR - Pencapaian Perikatan Nasional (PN) di enam negeri pada pilihan raya negeri (PRN) menunjukkan prestasi yang baik.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, biarpun kekal mentadbir di tiga negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu namun pencapaian di tiga lagi negeri amat memberangsangkan.
Menurutnya, peningkatan jumlah kerusi dimenangi PN khususnya di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang memberikan isyarat rakyat semakin menolak kepimpinan Kerajaan Perpaduan diterajui Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
"Satu kerusi kalah pun apabila kita pegang kerajaan pada waktu sama kita ada kerajaan Persekutuan dan kita guna semua agensi Persekutuan untuk menekan kerajaan negeri supaya mereka boleh rampas, namun apabila berlaku satu kekalahan di satu kerusi, mereka sebenarnya sudah tewas,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas PN diumumkan menang dalam PRN Kedah di Kompleks Pas, Kota Sarang Semut di sini pada Ahad.
Muhammad Sanusi menyifatkan kekalahan lebih banyak kerusi yang sebelum ini disandang PH-BN membuktikan penolakan rakyat terhadap gabungan itu.
"Ini sebenarnya, rakyat telah menolak mereka. Saya harap semua rakyat di seluruh negeri pun begitu,” ujarnya.
Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berharap agar kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri terus memainkan peranan masing-masing tanpa melihat kepada perbezaan politik.
"Buatlah kerja masing-masing. Kalau mereka rasa serangan berlebihan itu tidak memalukan muka, datanglah jumpa, saya tak ada masalah.
"Saya layan mereka macam biasa, mereka boleh datang bila-bila masa bersesuaian dengan tugas dan tanggungjawab mereka di peringkat Persekutuan,” katanya.
PRN Kedah menyaksikan PN hampir menyapu bersih 33 daripada 36 kerusi DUN yang ditandingi.
Sementara di Terengganu, sejarah tercipta apabila buat kali pertama, DUN Terengganu tidak mempunyai pembangkang selepas PN menyapu bersih 32 kerusi di negeri itu.
Di Kelantan, Pas menang di 43 kerusi DUN manakala dua kerusi lagi dimenangi BN dan PH, iaitu DUN Galas dan Kota Lama.
PN turut menambah kerusi di Selangor apabila menang 22 DUN berbanding hanya lima disandang PN sebelum ini. Di Pulau Pinang, PN memenangi 11 kerusi di kawasan majoriti Melayu sementara Negeri Sembilan menang lima kerusi.
Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!
ARTIKEL BERKAITAN: PRN: Kerajaan di enam negeri kekal
PRN: Nama-nama besar PH-BN Kedah kecundang
PRN: PN tepati ramalan kekal di Kedah
PN kini wadah utama politik Melayu - Muhyiddin