Penduduk bantah bina menara telekomunikasi

Iklan
Penduduk menunjukkan lokasi pembinaan menara telekomunikasi yang didakwa sudah diluluskan tanpa persetujuan mereka.

KUANTAN - Lebih 50 penduduk di Taman Imbi, Galing di sini membantah pembinaan menara telekomunikasi yang dicadangkan berhampiran kawasan kejiranan mereka.

Mereka menyuarakan rasa kecewa dengan pihak berkaitan yang meluluskan pembinaan menara telekomunikasi itu dan meminta supaya mengalihkan segera ke lokasi berjauhan dari penempatan mereka.

Iklan
Iklan

Wakil penduduk, Wan Razali Wan Abu Bakar, 57, mengakui terkejut apabila mengetahui menara telekomunikasi akan didirikan di taman permainan di hadapan rumahnya pada Rabu lalu.

Apa yang dikesalkan, katanya, penduduk langsung tidak dimaklumkan mengenai pembinaan menara tersebut oleh pihak berkaitan.

Iklan

Dakwanya, perkara itu diketahuinya selepas beberapa pekerja daripada syarikat kontraktor yang terlibat datang membuat ukuran bagi memulakan pembinaan kemudahan terbabit.

"Mereka (syarikat telekomunikasi) langsung tidak meminta persetujuan daripada penduduk terlebih dahulu, malah mereka mendakwa sudah mendapat kelulusan daripada MBK (Majlis Bandaraya Kuantan)," katanya ketika ditemui di Taman Imbi, Galing pada Ahad.

Iklan

Kawasan kejiranan lain yang berada di sekitar adalah Taman Asia, Taman Desa Anggerik, Taman East Coast, Taman Harapan, Taman Hung Seng, Taman Kim Leng, Taman Mirama, Taman Seaview, Taman Sentosa Baru dan Taman Setali Indah.

Dia yang bekerja sendiri memaklumkan tidak setuju dengan pembinaan menara kerana ia terlalu hampir dengan penempatan dan merupakan lokasi rekreasi.

"Malah, kami juga bimbang menara ini akan memberi kesan negatif (radiasi) terhadap kesihatan penduduk. Kalau tengok menara ini (telekomunikasi) betul-betul dibina di hadapan rumah saya, jarak lebih kurang 13 meter," katanya.

Lebih 50 penduduk membantah pembinaan menara telekomunikasi di Taman Imbi, Galing.

Senada dengan itu, pesara, S Baskaran, 72, turut bimbang akan kesihatan penduduk setempat khususnya warga emas dan kanak-kanak, jika menara telekomunikasi terbabit dibina di kawasan tersebut.

"Kita risau radiasi menara ini, boleh menjadi penyebab kepada kanser pada masa akan datang. Kesihatan kita penting dan perlu diutamakan terlebih dahulu, selepas itu baru kemudahan.

"Kalau boleh (pembinaan menara) jauh sikit daripada penempatan penduduk, jangan dekat sangat dengan kawasan perumahan, sekarang ini memang tiada kesan,tapi akan datang baru nampak kesannya (pada kesihatan)," katanya yang sudah memaklumkan masalah ini kepada pemimpin setempat.

Tan Yong Hock, 53, turut menyatakan tidak bersetuju dengan pembinaan menara yang berhampiran dengan penempatan mereka.

Dakwanya, penduduk juga tidak diberikan sebarang notis berhubung pembinaan itu, selain tidak mendapat persetujuan daripada penduduk.

"Kita memang tidak benarkan pihak berkenaan membuat menara di sini, lagi pun, kami semua tidak menerima sebarang notis, sebaliknya pihak mereka (telekomunikasi) terus menanda lokasi bagi pembinaan menara ini

"Kita kecewa, minta pihak berkenaan mengambil tindakan dan kita memang menolak pembinaan menara di sini," ujarnya yang bekerja sendiri.

Bekas guru, Wong Sau Lan, 71, pula berharap pembinaan menara itu dialihkan ke lokasi yang lebih sesuai berbanding dengan penempatan penduduk.

"Kami semua bantah. Carilah lokasi yang lebih sesuai untuk membina menara ini," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu memaklumkan sudah menerima adunan daripada penduduk berhubung perkara itu.

"Saya akan menghubungi pihak MBK bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung perkara itu esok," katanya.