SEREMBAN - Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Faizal Azumu mencadangkan jawatan Menteri Besar negeri itu diserahkan kepada Datuk Seri Jalaluddin Alias.
Menurutnya, UMNO mendapat kerusi terbanyak di negeri tersebut dan seharusnya Pengerusi UMNO Negeri itu diangkat sebagai Menteri Besar atas dasar kejayaan mereka.
Ahmad Faizal turut berpendapat bahawa itulah semangat perpaduan yang dicanangkan oleh PH dan Barisan Nasional (BN).
"UMNO tewas teruk di kesemua lima negeri yang lain. Ahli-ahli UMNO tentu berasa kecewa.
"Jangan pula ahli UMNO dan para penyokongnya dikecewakan sekali lagi. Undi UMNO dapat PKR dan DAP.
"Saya ucapkan tahniah kepada Datuk Jalaluddin dan semoga beliau terpilih sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu," katanya menerusi kenyataan di Facebook beliau pada Ahad.
Keputusan rasmi pilihan raya negeri (PRN) di Negeri Sembilan menyaksikan PH-BN meraih 31 kerusi manakala PN memenangi lima kerusi.
Dari segi pecahan parti, UMNO mendapat 14 kerusi, diikuti DAP dengan 11 kerusi dan PKR pula menenangi lima kerusi manakala Amanah memperoleh satu kerusi.
Dalam pada itu, Ahmad Faizal yang juga Timbalan Pengerusi PN meluahkan kelegaan selepas selesainya PRN.
"Pilihan raya di enam negeri telah berlangsung dengan baik. Alhamdulillah, rakyat dapat meneruskan kehidupan dan proses demokrasi dapat dijalankan dengan baik.
"Perikatan Nasional mendapat keputusan yang baik. Terima kasih atas segala sokongan," ujarnya. - Awani